Klik sini untuk membeli Buku dan VCD Keadilan terbaru !
Faisal Mustaffa's Facebook profile


Bangkitlah Kaum Buruh & Petani
Menentang Ekstremis & Hipokrits!


~ faisal mustaffa online ~


 

Wednesday, January 07, 2009

Temuramah aku dengan Exco Kanan Negeri Perak


Ahli exco kanan Kerajaan Negeri Perak, Dato Ngeh Koo Ham mempunyai visi agar rakyat Perak mendapat layanan samarata tanpa mengira warna kulit. Bagi memperkasakan rakyat, Ngeh berpendirian bahawa apa yang lebih penting ialah kebolehan seseorang itu.

Beliau juga menceritakan rancangan kerajaan baru Negeri Perak dan serangan BN dalam cuba memburukkan barisan pentadbiran baru ini.




Apakah program-program yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri untuk rakyat Perak?


Kita mempunyai senarai dasar-dasar dan program yang dibentuk dan akan berterusan ke arah inisiatif-inisiatif untuk rakyat di masa mendatang. Salah satu aspek ialah kepentingan hak sama rata untuk semua warganegara. Sememangnya, kita tidak mempersoalkan hak istimewa Melayu dan Orang Asal di Sabah dan Sarawak, seperti yang termaktub di dalam Fasal 153 Perlembagaan Persekutuan. Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin juga telah menyatakan bahawa kita tidak akan mendiskriminasikan seseorang berdasarkan kaum atau kepercayaan.

Jika kita meneliti Fasal 153, ianya jelas menunjukkan bahawa ia menyentuh tentang tindakan proaktif bagi membantu Melayu dan Orang Asal di Malaysia. Ia menekankan mengenai “kedudukan istimewa” dan bukannya “hak isitimewa”. Sebab itu, kita menekankan kepada lima bidangan; pendidikan, perkhidmatan awam, pengeluaran lessen, ruang pameran dan biasiswa.

Selain itu, apa juga undnag-undang Kerajaan Persekutuan mendiskriminasi berdasarkan kaum melanggar Fasal 8 Perlembagaan, yang mana jelas menyebut bahawa kita semua sama di bawah undang-undang.

Di bawah Kerajaan Perak, kita memperjuangkan semangat yang dinyatakan di dalam Fasal 153 tanpa meminggirkan semangat di dalam demokrasi sosial yang mana menjadi pegangan DAP. Kita memastikan setiap warganegara mempunyai akses samarata terhadap makanan, tempat berteduh, pakaian, pendidikan dan kesihatan. Ini juga selaras dengan konsep negara kebajikan yang diperkenalkan oleh PAS (Parti Islam se-Malaysia) serta demokrasi sosial yang seiring dengannya.

Dari segi inisiatif-inisiatif khusus, kita sudah memperuntukkan RM 1 juta untuk membantu golongan miskin tegar bagi peruntukan makanan seperti minyak, gula dan beras. Kita juga telah mengumumkan 20,000 golongan dalam kumpulan miskin tegar (berpendapatan RM700 sebulan seisi rumah) akan menerima 20 meter padu air percuma. Melalui Yayasan Perak, kita juga memberi RM1000 kepada setiap isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM1500 yang mempunyai anak pertama berjaya memasuki universiti. Program-program kebajikan sosial yang lain termasuk memberi lot-lot perumahan dengan harga yang rendah kepada mereka yang tidak mampu untuk membeli tanah. Bagi mereka yang tidak mampu untuk mendirikan rumah walaupun tanah diberikan, kita memperuntukkan kepada syarikat pembangun untuk menyiapkan rumah untuk mereka. Syarikat pembangun tersebut akan memulangkan 20-30 peratus kepada Kerajaan Negeri dan kita akan menjualkannya kepada golongan yang layak pada separuh harga tersebut. Dengan itu, rumah yang berharga RM70,000 kini serendah RM35,000 menjadikannya mudah untuk rakyat memohon pinjaman bank. Kita juga mendirikan rumah pangsa yang disewa dengan harga kadar RM100 sebulan.

Apa yang lebih penting, motif kita semua ialah untuk menjana kekayaan. Tanpa kekayaan, kita tidak mampu untuk mengagihkannya. Oleh yang demikian, kita telah mulakan program yang dipanggil “Pengayaan dan Penjanaan Rakyat”. Sebagai contoh, kita mengagihkan status pegangan hakmilik bebas kepada 149,000 keluarga di kampung baru dan Kampung Tersusun. Sememangnya, Umno telah mula mempolitikkan hal ini dengan mengatakan projek yang kita cadangkan ini akan memberi manfaat kepada kaum Cina. Ini tidak benar kerana majoriti penduduk luar bandar sebenarnya Melayu dan ada juga kaum India. Dasar kita jelas; tidak berdasaskan perkauman – kita hanya mahu mengkayakan negeri Perak. Dengan menjalankan stimulasi terhadap ekonomi tempatan, kita juga menjana pendapatan kepada kerajaan negeri. Lagi pun, projek-projek tersebut bernilai lebih RM1.5 bilion yang mana kerajaan negeri hanya mengambil 20-30 peratus daripadanya. Dengan ini, semua pihak mendapat manfaat daripadanya.

Akhirnya, kita juga teruja dalam usaha mempromosikan industry pelancongan di Perak. Kebanyakan daripada kita tidak mengetahui Perak mempunyai banyak lokasi pelancongan yang mampu menarik pelancong-pelancong luar. Kami berasa kecewa apabila Kerajaan Pusat enggan bekerjasama dengan kita dalam mempromosikan industri ini. Kita juga telah menubuhkan majlis tempatan bagi tujuan ini sungguhpun kami masih menaruh harapan terhadap kerajaan pusat. Perak mempunyai Gua Tempurung, Pulau Pangkor yang antara lain telah dibangunkan oleh badan-badan-syarikat persendirian untuk pelancongan. Kita perlu bekerja dalam semua sudut bagi mendapatkan keputusan yang cemerlang.




Apa bezanya Kerajaan Pakatan Rakyat sekarang dengan Barisan Nasional (BN) sebelum ini?

Semasa kerajaan BN, budaya rasuah telah mencemarkan hasrat pelabur-pelabur luar untuk melabur di sini (Perak). Sekarang, kita lihat mrea sudah mula berminat untuk kembali melabur kerana mereka dapat melihat bagaimana telusnya kerajaan baru kita.sebgai contoh, kita mempuyai 5,000 ekar tanah di Meru Raya, berhampiran Ipoh dan kita menggunakan lapan ekar daripadanya bagi pembinaan Hab Pengangkutan Ipoh Tengah. Projek tersebut mendapat kerjasama dengan syarikat-syarikat swasta. Kita akan dapat menikmati bas-bas baru sebanyak 250 buah yang akan mula beroperasi mulai tahun hadapan, sekiranya sistem pengangkutan awam diselaraskan di Lembah Kinta.

Selain itu, kita menyedari betapa pentingnya untuk menghargai usaha-usaha yang telah dimainkan oleh badan-badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam menggalakkan mereka bersama-sama memperbaiki sistem pengangkutan di Perak. Kita perlu sedar bahawa merekalah yang menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan ini, bukannya kita.

BN tidak pernah menghargai usaha-usaha tersebut. Sekiranya terdapat sebuah NGO yang menubuhkan pusat dialisis, mereka akan dikenakan RM5,000 bagi setiap pemindahan. Ini kerja mengarut. Sekarang kita hanya mengenakan kadar berpatutan sebanyak RM1,000 sementara sekolah-sekolah dikenakan RM1. Ini penting bagi menggalakkan NGO mengambil bahagian bagi membantu masyarakat yang memerlukan.

Kerajaan sebelum ini telah meluluskan 400 ekar tanah bagi pembinaan Kolej TAR (Tuanku Abdul Rahman). Di bawah pentadbiran Dato, kerajaan negeri memperuntukkan 2,400 ekar tanah bagi membiunaan sekolah-sekolah Cina. Apa komen anda?

Ya, Umno banyak mempersoalkan perkara ini di media-media arus perdana. Tetapi, kita memberitahu bahawa kerajaan negeri sekarang memberi lebih banyak tanah, bukan hanya untuk pembinaan sekolah-sekolah kebangsaan tetapi juga bagi pembinaan masjid, sekolah agama, kolej untuk kaum Melayu dan sebagainya. Masalahnya, media perdana tidak melaporkannya.

Kita telah meluluskan 6,500 ekar tanah bagi pembinaan kolej untuk orang Islam manakala 2,400 ekar untuk sembilan sekolah swasta. Pendidikan ialah amanah kerajaan. Jadi, sekiranya sektor swasta mahu menyediakan sekolah-sekolah ini, kita membantu mereka dalam meningkatkan tahap sistem pendidikan. Kita sama-sama mendapat manfaat. Kita perlu mengambil ukuran ini dalam menghalang pengaliran keluar pekerja-pekerja mahir ke luar Negara yang menggugar Negara kita selama ini. Kita perlu kekalkan mereka ini di sini dan mengelak mereka daripada merantau dan bekerja di Negara luar.



DAP menerima penyertaan PAS dalam pentadbiran kerajaan negeri. Bagaimana pula dengan masyarakat Melayu di Perak? Adakah mereka sedar dengan terdapatnya lebih ramai perwakilan DAP di dalam barisan exco?

Umno sering memainkan sentimen ini untuk menakut-nakutkan Melayu. Namun, secara perlahan-lahan rakyat mula sedar bahawa DAP tidak pernah meminggirkan Melayu. Lagi pun, saya sering mengingatkan Menteri Besar (Perak) bahawa kita perlu membuat yang lebih kepada kaum Melayu agar mereka faham usaha kita membangunkan Melayu dan menunjukkan bahawa kita lebih baik daripada BN. Sesiapa yang melakukan kerja dengan lebih baik ialah sepatutnya dilantik – tidak kira bangsa. Kita tidak sepatutnya memilih seseorang berdasarkan warna kulit, sepertimana yang berlaku dalam pemilihan Presiden Amerika Syarikat.

Apa yang lebih mustahak ialah rakyat akan merasakan mereka terjamin dan bukannya melihat bahawa kita bekerja untuk kroni. Sekarang, semua bangsa mendapat perlindungan di Perak, termasuk Orang Asli yang sering dipinggirkan semasa pentadbiran kerajaan lalu.




Bagaimana pula dengan imej anti-Melayu dan anti-Islam dalam DAP yang sering dilihatkan oleh Malaysia?


Pertamanya, DAP ialah sebuah parti social democrat yang berada di bawah kumpulan Socialist International, yang mana ia merupakan organisasi politik terbesar di dunia. Di Eropah, 12 daripada 15 negara diperintah oleh parti seperti ini termasuk Australia dan New Zealand. Jelas, Negara-negara ini bukannya negara Cina. Jadi, ianya jelas bahawa ia bukannya isu dominan masyarakat Cina, sungguhpun Umno secara sengaja dan berniat jahat ingin memperlihatkan DAP seperti itu. Ia juga sama dengan cara MCA yang cuba menakutkan masyarakat Cina terhadap PAS yang menggelar PAS sebagai syaitan. Semua ini secara terang berasaskan kepada politik perkauman dan BN seronok menggunakan cara ini.

Jadi, apabila kita mengutarakan semangat kesaksamaan dan keadilan, mereka cuba memperlihatkan bahawa kita ingin menghapuskan kedudukan istimewa Melayu. Sudah semestinya, kita tidak memberi layanan sedemikian. Lagi pun. Islam juga tidak mengajar umatnya berbuat demikian, dan sudah semestinya orang Melayu juga tidak mahu memberi ketidakadilan kepada kaum lain.

Sekarang, orang Melayu sudah mula sedar bahawa tuntutan Umno yang kononnya memperjuangkan hak Melayu sebenarnya memberi manfaat kepada segelintir orang, bukannya Melayu kebanyakan.

Saya percaya, jalan terbaik untuk mengatasi ide-ide negatif yang dipropagandakan oleh Umno ialah melalui setiakawan dan merapatkan silaturrahim. Semasa Pilihan Raya Umum yang baru lalu, saya menerima 30 peratus undi Melayu di Beruas. Keputusan dimumkan jam 11 malam dan pada 3 pagi kita sudah mampu mengumumkan kerajaan baru bersama Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustaz Ahmad Awang dan Pengerusi PKR Zulkifli Ibrahim. Kita mampu menubuhkan kerajaan dalam beberapa jam sahaja melalui ukhuwah ini.


Kalau kita lihat di Pulau Pinang, Kerajaan Negeri itu mengamalkan prinsip CAT. Bagaimana dengan Perak?


Kita tidak mempunyai slogan sedemikian. Namun, pendirian kami jelas. Secara prinsipnya, kita bersetuju pada dasarnya bahawa tidak ada seorang pun ahli majlis yang layak untuk mendapat seinci tanah dari kerajaan negeri. Dan kita langsug tidak menerima amalan rasuah di dalam pentadbiran kita. Juga, Kerajaan Perak sekarang menumpukan kepada pengayaan, bagi mengkayakan rakyat Perak.

Dalam masa tempoh setahun, kita merancang untuk membenarkan semua pemilik tanah dan industri di luar perkampungan baru memperbaharui hak pemilikan mereka yang luput selepas 99 tahun. Selain itu, kita menggalakkan segala bentuk perniagaan dan industri dan pada masa yang sama melindungi alam sekitar. Kita akan menerokai perlombongan seperti kalsium dan magnesium yang banyak terdapat di Perak.




Apa pula pandangan Dato dalam skandal rasuah yang berlaku di dalam barisan exco?

Memandangkan kes ini sedang dibicarakan, saya tidak dapat memberi komen mengenainya. Saya telah menasihati mereka yang terbabit untuk membuat laporan polis. Banyak perkara di dalam kes ini yang boleh dipertikaikan.

Labels: , , , , ,

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

Get awesome blog templates like this one from BlogSkins.com