Klik sini untuk membeli Buku dan VCD Keadilan terbaru !
Faisal Mustaffa's Facebook profile


Bangkitlah Kaum Buruh & Petani
Menentang Ekstremis & Hipokrits!


~ faisal mustaffa online ~


 

Tuesday, March 22, 2005

Sepet tetap filem Malaysia

SepetOleh Sani Kamarudzaman
ianz@hmetro.com.my

STATUS kemenangan filem Sepet arahan Yasmin Ahmad yang menang hadiah utama juri yang juga anugerah tertinggi di Festival Filem Wanita Antarabangsa 2005 di Creteil, Perancis, kelmarin menjadi persoalan berikutan penyertaannya dihantar oleh wakil dari Singapura.

Filem kedua arahan pengarah kreatif agensi pengiklanan Leo Burnett Advertising Sdn. Bhd itu serta dijayakan pelakon baru, Ng Choo Seong dan Sharifah Amani, pastinya membanggakan negara apabila menewaskan beberapa filem antarabangsa dari Perancis, Brazil, Sepanyol dan United Kingdom.

Yasmin ketika dihubungi semalam, mengakui penyertaan Rabun dan Sepet ke festival filem yang mengiktiraf usaha sutradara wanita dari seluruh dunia itu diuruskan oleh wanita warganegara Perancis yang bermastautin di Singapura.

“Rabun dan Sepet dihantar untuk menyertai festival itu pada Ogos tahun lalu oleh Pengurus Projek Asia-Europe Foundation (Asem) Singapura, Marie Le Sourd selepas beliau berkesempatan menyaksikan Sepet di Singapura.

"Asem adalah yayasan yang ditubuhkan pada Februari 1997 dengan objektif mempromosikan program pertukaran budaya antara masyarakat dari benua Asia dan Eropah.

"Antara negara Asia yang menganggotai Asem ialah Malaysia, Brunei, China, Indonesia, Jepun, Korea Utara, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

"Marie menaruh minat yang mendalam untuk menghantar Rabun dan Sepet ke Perancis namun kedua-dua filem itu tidak diperkenalkan sebagai filem yang mewakili Singapura namun membawa nama Malaysia," katanya.

Yasmin berharap kemenangan filemnya tidak dianggap sebagai isu sensitif kerana menganggap kerjasama yang dijalin sebagai sesuatu yang positif.

"Filem arahan saya dihantar menyertai festival filem antarabangsa oleh individu yang tidak mempunyai kepentingan dalam industri perfileman negara.

"Pihak yang bertanggungjawab mempromosikan filem di Malaysia tidak mahu hantar filem saya untuk bertanding mewakili negara sebaliknya orang luar yang lebih berminat dengan filem saya.

"Saya harap filem saya yang seterusnya tidak lagi kena buli," katanya yang masih berada di Paris.

Sepet yang dihasilkan sekitar RM1 juta dan menerima bantuan kewangan daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sebanyak RM400,000, menang hadiah utama juri yang juga anugerah tertinggi festival itu sekali gus membawa pulang RM20, 000 bersama sijil.

Antara filem yang bertanding untuk anugerah tertinggi ini ialah That’s Love Hong Kong oleh Ching Yau mewakili China/Hong Kong, The Concrete Revolution (Xiaolu Guo, China/Hong Kong), Arisan dan Pasir Berbisik (Achnas T. Nan, Indonesia), Yurisai (Hamano Sachi, Jepun), Ing (Lee Eon-hee, Korea), Riles (Carolino Ditsi, Filipina), Lim Poh Huat (Wong Lee, Singapura) dan I San Special (Sonakul Mingmongkol, Thailand).

Sepet yang turut dijayakan pelakon terkenal seperti Harith Iskandar dan Ida Nerina, ditayangkan buat pertama kali di pawagam Cathay Cineplex Orchard, Singapura bersama beberapa filem Malaysia lainnya sempena Festival Filem Malaysia 2004 anjuran institusi perfileman Cathay Organisation pada 23 hingga 26 September tahun lalu.

Rentetan kejayaan filem yang mengisahkan percintaan dua insan berlainan bangsa itu menarik minat khalayak, ada pihak di Singapura berminat membawa filem ini ke festival filem antarabangsa di Perancis, San Francisco dan Sepanyol.

Untuk khalayak tanah air, Sepet ditayangkan di sembilan panggung seluruh negara pada 24 Februari lalu serta mendapat sambutan yang baik.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

Get awesome blog templates like this one from BlogSkins.com