Klik sini untuk membeli Buku dan VCD Keadilan terbaru !
Faisal Mustaffa's Facebook profile


Bangkitlah Kaum Buruh & Petani
Menentang Ekstremis & Hipokrits!


~ faisal mustaffa online ~


 

Monday, May 18, 2009

Wahai Najib, Bebaskanlah Media!



Hari Kebebasan media jatuh pada tanggal 3 Mei setiap tahun. Bersempena dengan perlantikan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri baru, kita mungkin tertanya-tanya apakah halatuju media di mata beliau.

Dalam sebuah Negara yang berpegang kepada demokrasi yang digembar-gemburkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN), amalan media yang bebas menjadi pegangan.

Seperti yang kita sedia maklum, Malaysia mempunyai akta khusus bagi mencengkam kebebasan tersebut. Akta Percetakan dan Penerbitan menjadi kekangan dalam perihal ini. Sebarang penerbitan termaktub dalam akta ini termasuk pihak kerajaan mempunyai kuasa bagi menetapkan syarat-syarat penerbitan tersebut.

Semasa pilihan raya umum yang lalu, pengundi telah member isyarat yang agak kuat bahawa mereka mahukan media yang lebih bebas. Mengikut beberapa kajian yang dijalankan, tujuh hari sebelum pemilihan, New Straits Time memaparkan 17 halamannya mengutuk parti alternatif khususnya Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat. Ini mendatangkan impak yang disebalik kerana kecaman-kecaman yang berlebihan tersebut bukan hanya telah menimbulkan rasa marah pengundi malah telah mendatangkan rasa belas kepada bekas Perdana Menteri itu.

Baru-baru ini semasa persidangan Dewan Undangan Negeri di Perak 7 Mei, had telah diberikan kepada media maya. Sekatan tersebut diberikan oleh kerajaan BN Perak. Pendekatan tersebut amat bertentangan dengan konsep “1 Malaysia” yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri.

Sekurang-kurangnya, bekas Perdana Menteri, Abdullah Badawi telah mula memberi kelonggaran kepada media maya dalam menghadiri majlis-majlis rasmi kerajaan. Tetapi, sekarang nampaknya tahap media kembali selangkah demi selangkah ke belakang. Namun, pada waktu itu, pimpinan beliau masih tidak menunjukkan satu tahap yang membanggakan.
Berdasar kepada Indeks Kebebasan Akhbar Sedunia oleh ‘Reporters Without Borders’, pada tahun 2008 Malaysia jatuh lapan tangga kepada 132, iaitu kedudukan yang terburuk pernah dicatatkan. Manakala pada 2007 dan 2006 masing-masing pada kedudukan 124 dan 92.

Selain itu, kerajaan pusat juga mengguakan Akta Multimedia dan Kumunikasi dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi memberi ugutan kepada blogger dan pihak yang turut serta dalam memberi komen di dalam beberapa laman.

Semasa kemelut perampasan kuasa kerajaan perak, Kementerian Multimedia dan Komunikasi telah mengambil tindakan yang tidak diplomatik dengan mendakwa blogger.

Pada September 2008, satu lagi penghakisan dalam kebebasan media apabila Raja Petra Kamarudin (pengendali laman Malaysia-Today ), Teresa Kok (anggota exco negeri Selangor) dan Tan Hoon Cheng (wartawan) dikenakan tindakan di bawah ISA. Raja Petra kini sedang dalam perlindungan kerana khuatir akan dikenakan di bawah akta yang sama buat kali ketiga.

Pada Oktober lalu, Teresa telah memfailkan saman ke atas akhbar Utusan Malaysia yang dimiliki UMNO sebanyak RM30 juta selepas beliau dibebaskan.

Peralihan kuasa kepada Najib April 2009 lalu menunjukkan bahawa Negara kita hampir mengecapi sedikit ruang cahaya sehinggakan ianya ditutup kembali…kembali ke era Mahathir suatu waktu dahulu.

Pada sepanjang tahun 2006, sebanyak 115 surat tunjuk sebab telah dikeluarkan di bawah Akta Percetakan dan Penerbitan. Dalam jangkamasa yang sama, empat akhbar telah diharamkan, dua ‘digantung tidak bertali’.

Misalnya, dalam pemberian lesen penerbitan, Menteri Dalam Negeri pada waktu itu, Syed Hamid Albar yang telah memberi kelonggaran supaya penerbitan dari parti politik dilakukan sekali sahaja (sebelum ini setiap parti politik yang memohon untuk penerbitan perlu menghidupkan kembali lessen penerbitan mereka setiap tahun).

Sehingga ke penghujung tahun 2008, usaha tersebut menjadi retorik. Pada 16 April 2008, Menteri Dalam Negeri telah mengharamkan akbar harian “Makkal Osai”. Protes dari masyarakat India serta pejuang kebebasan media akhirnya kerajaan akur dan menarik balik pengharaman tersebut pada 25 April.

Dalam satu kajiselidik yang dijalankan oleh Centre for Independent Journalism (CIJ) bersama Merdeka Center for Opinion Research, 80 peratus dripada respinden (dari jumlah 1,203) berpendapat pemilikan media terhadap kerajaan dan mahu melihat media lebih bebas.

Apa yang diharapkan di bawah pimpinan Najib, langkah pertama yang beliau perlu ambil ialah dengan menubuhkan Jawatankuasa Pemilihan parlimen bagi mengkaji semula undang-undang yang mencengkam media di Negara ini.
Undang-undang Kebebasan Maklumat

Selain itu, sebuah akta yang mampu memberi sedilkit ruang kepada pengamal media dan orang awam mengenai kebebasan maklumat perlu digubal secepat mungkin. Akta Kebebasan Maklumat (Freedom of Information) FOI Act adalah undang-undang yang perlu dalam perkembangan dan menaiktaraf dan maruah Negara ini.

Apa yang diharapkan, Akta Kebebasan Maklumat ini dapat menggantikan Akta Rahsia Rasmi dengan tujuan menggalakkan akses kepada maklumat yang dipegang oleh badan awam dan badan persendirian yang mempunyai kepentingan awam. Sekiranya kita mengkaji Antarabangsa Hak-hak Asasi Manusia Artikel 19 menjamin hak bersuara dan hak mendapatkan maklumat, dan juga memberi makna kepada Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan mengenai hak kebebasan bersuara. Rang Undang-undang ini menggariskan prinsip-prinsip asas hak kebebasan maklumat dan mekanisme-mekanisme berkesan bagi melindungi hak tersebut.

Pada dasarnya, prinsip yang diaplikasikan ialah semua maklumat yang dipegang oleh badan awam patut diakses oleh sesiapa, terutamanya jika pendedahan maklumat tersebut mempunyai kepentingan awam. Pengecualian dibenarkan tetapi hanya bagi tujuan spesifik dan terhad.
Justeru, pendedahan maksima maklumat yang dipegang oleh badan awam dan badan persendirian, sebagaimana ditafsirkan dalam Rang Undang-undang ini, yang mempunyai kepentingan awam.

Bagi bertindak adil, akta ini member pengecualian yang spesifik dan terhad yang perlu ditentukan melalui proses yang terbuka. Malah, satu Suruhanjaya Maklumat yang bebas untuk memantau pelaksanaan akta, menerima aduan dan membuat keputusan ke atas aduan yang diterima, dan mengambil langkah-langkah yang sesuai untuk mempromosikan hak kebebasan maklumat termasuklah melatih pemegang maklumat perlu dibentuk dalam menghalang penyalahgunaan kebebasan tersebut.

Apabila kita merujuk kepada proses pelaksanaannya, ia akan permudahkan proses meminta maklumat dan maklumbalas, murah, dalam jangka masa yang munasabah, dan mengambil kira kehendak peminta yang mempunyai kekurangan fizikal.

Pentafisaran perundangannya memastikan keterbukaan, di mana peruntukan atau perundangan lain yang bercanggah dengan rang undang-undang ini tidak akan dipakai. Malah, perlindungan kepada peniup wisel (si pemberi maklumat) yang mendedahkan maklumat yang penting dari segi kepentingan awam.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

Get awesome blog templates like this one from BlogSkins.com