Bangkitlah Kaum Buruh & Petani
Menentang Ekstremis & Hipokrits!
~ faisal mustaffa online ~
 
Tuesday, May 12, 2009
Betulkah Pindaan ISA Bawa Prinsip Liberal?
Illustrasi gambar:
Tajuk : ISA menutup mulut manusia
Tarikh : 09 Disember 2007
Kandungan : Kanak-kanak bangkit menentang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang mencabul kebebasan seseorang insan tanpa membicarakannya.
Foto oleh:
Nama : Lim Hong Siang
Artikel ini juga disunting dan dipaparkan di CPI.
Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) diluluskan oleh Parlimen pada 1 Ogos 1960 setelah darurat diisytiharkan berakhir pada 30 juai 1960 pada mula-mula bertujuan untuk menghadapi kegiatan komunis. Tetapi dalam temph hampir separuh dekad ini, ia telah digunakan untuk pelbagai tujuan selain daripada tujuann asal ia diluluskan oleh Parlimen.
ISA membenarkan penahanan tanpa perbicaraan dan tanpa perlu kepada pembuktian. ISA juga membenarkan kuasa yang luas, arbitrari dan tidak boleh dicabar mahkamah yang menyebabkan berlakunya penyeksaan fizikal dan mental seperti mana yang telah terbukti berlaku dalam banyak kes terdahulu.
Tetapi akta tersebut banyak dilihatkan sebagai sebuah undang-undang yang berkepentingan. Undang-undang tersebut dilihat sebagai tindakan yang bercanggah dengan hak asasi manusia dan juga melanggar Perlembagaan Persekutuan.
R.H. Hickling, individu yang bertanggungjawanb mendrafkan ISA mengakui akta tersebut bukan sahaja diperketarkan penggunaannya malah berlaku juga penyalahgunaan akta tersebut bagi kepentingan politik. Katanya,
“since I drafted the original act, the ISA has been tightened up andtightened up until now there’s no provision for judicial review. Unfortunately over the years the powers have been abused. Instead of locking up peple suspected of organizing violence, which is the phrase used in the preamble to the ISA, it’s been used to lock up politicala opponents, quite harmless people.”
Kemuncak asas-asas ISA ialah elemen mengancam, mengugut dan mewujudkan rasa takut dan gerun…”climate of fear”…”under siege mentality”… sehingga merencatkan daya fikir dan teguran berani serta fitrah manusia yang bebas.
Mangsa ISA
Menurut sumber, pelbagai pertuduhan yang membuatkan seseorang itu ditahan di bawah ISA. Antaranya ialah memimpin Kumpulan Tindakan Hak-hak Hindu (Hindraf), Jemaah Islamiyah, Darul islam dan agensi perisik asing. Namun, tidak ada satu pun pertuduhan itu dibicarakan di mahkamah.
Setakat ini,enam orang sudah ditahan melebihi enam tahun, dua orang melebihi lima tahun, dua orang ditahan melebihi empat tahun, enam orang ditahan melebihi tiga tahun, empat orang ditahan melebihi dua tahun, dua orang ditahan melebihi setahun dan enam orang ditahan melebihi enam bulan. Baru-baru ini, kerajaan mengumumkan pembebebasan 13 daripada mereka.
Perisytiharan Sejagat Hak Asasi Manusia
Artikel 3, 5, 9, 10, 11 menyentuh mengenai hak: kebebasan; bebas dari penahanan tanpa bicara; tidak diseksa atau diperlakukan secara kejam, tidak berperikemanusiaan atau penghinaan; dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah menurut undang-undang melalui perbicaraan di mahkamah terbuka.
Perlembagaan Persekutuan
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) mencadangkan sejak tahun 2003 supaya ISA dimansuhkan dan diganti dengan sebuah Akta baru, Akta Anti-Terrorisme tetapi tidak pernah diteliti oleh kerajaan atau dibentangkan di Parlimen. Lain pula dengan pendirian Suruhanjaya Diraja Pembaikpulih Polis yang mana mencadangkan agar ISA dimansuhkan dan digantikan dengan Akta Anti-Terorisme.
Amnesty International, sebuah organisasi pendukung hak asasi manusia yang ditubuhkan pada tahun 1961, sejak tahun 1970an lagi telah mengecam pencabulan hak-hak asasi yang berlaku di Malaysia kesan daripada pelaksanaan ISA. Dalam kenyataan rasmi Amnesty, mereka telah menggariskan bahawa akta tersebut menghalang seseorang mendapat hak untuk membela diri di mahkamah. Amnesty juga menyimpulkan bahawa ISA menyekat kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan.
Mengikut cara penggunaannya, mangsa-mangsa yang dikenakan ISA termasuk ahli politik, aktvis, golongan akademik, mahasiswa, wartawan, anggota kesatuan sekerja dan sesiapa sahaja yang dianggap sebagai ancaman kepada kerajaan.
Prinsip liberalisme
Secara falsafahnya, liberalisme komited kepada konsep kesaksamaan, maruah, kebebasan dan rasionaliti. Pemahaman liberalisme menurut John Rawls (1921- ), prinsip liberalisme berkehendakkan kerajaan menyediakan sistem yang paling ekstensif terhadap kesama rataan. Setiap individu haruslah mengecapi kesamarataan tertinggi dan peluang yang sama antara satu sama lain.
Liberalisme juga percaya kepada peluang yang sama dalam mendapat tempat di dalam masyarakat, tidak mengira warna, gender dan bangsa. Bagi mengecapi ini, setiap orang haruslah mempunyai pembahagian kekayaan yang sama kecuali apabila berhadapan dengan keadaan di mana pembahagian tersebut tidak mampu untuk memperbaiki kebajikan rakyat.
Para liberalis melihat kebebasan sebagai satu matlamat. Manusia tida boleh hidup tanpa kebebasan, masyarakat juga tidak boleh berfungsi tanpanya, hasilnya, idea mengenai kebebasan telah memainkan peranan di mana jua dan pada setiap masa. Malah, pada zaman dahulukala, tradisi hokum alam, walaupun mengutamakan masyarakat, menuntut ruang-ruang kebebasan yang harus dilindungi dari pencabulan.
Oleh yang demikian, liberalisme tidak pernah bertoleransi kepada prinsip yang tidak berperikemanusiaan. Apatah lagi ianya tidak memberi peluang adil kepada setiap manusia.
GMI sebagai badan yang bertanggungjawab juga mahukan keamanan dan kesejahteraan untuk rakyat dan negara. GMI menentang amalan keganasan dan tindakan di luar undang-undang. Namun GMI berpendirian pencapaian keamanan dan kesejahteraan tersebut tidak pula boleh menggadaikan dan mencabuli hak asasi manusia dan keadilan sewenang-wenangnya.
Parlimen Eropah yang lebih liberal dalam memperbincangkan susuatu isu menyebut dalam persidangan mereka pada 13 Jun 2001 bahawa hak asasi manusia di Malaysia menjadi bertambah teruk akibat daripada cara Perdana Menteri Dr Mahathir menghancurkan musuh-musuh politiknya.
Apabila beberapa golongan dari ulama dan pejuang hak asasi serta ahli perundangan memperbincangkan tindakan ISA yang dikenakan ini, tekanan tersebut memaksa ianya diperbincangkan di Dewan Rakyat. Pihak Barisan Nasional (BN) bersungguh-sungguh ingin mempertahankan akta tersebut. Malah, mereka inigin mengusulkan agar Dewan Rakyat memperkenalkan Akta Anti-Terorisme bagi membendung masalah keganasan.
Syor untuk mengkaji semula ISA pernah disuarakan oleh beberapa orang Menteri dan parti komponen BN sebelum ini. Ada yang mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Terpilih Parlimen. Malah ada yang meletakkan jawatan kerana membantah. Namun ianya indah khabar dari rupa.
Sebelum menjawat jawatan kabinet. Dr Rais Yatim pada tahun 1995 berkata “the fact that the government chooses to perpetuate this formidable power under the ISA without any valid basis is purely a political choice.”
Tetapi, sewaktu beliau menjadi Menteri di JabatanPerdana Menteri pada tahun 2002, Rais menyebut dalam satu wawancara bahawa “as between popularity and the need to be vigilant in terms of national security, Malaysia choose the latter, The wisdom of the policy has withstood time”.
Sikap hipokritis inilah membawa beliau menjadi semakin tidak popular. Begitu juga yang diamalkan oleh Parti Gerakan Rakyat (Gerakan).
Gerakan yang merupakan salah satu anggota komponen BN pula berpendirian berbeza. Perdana Menteri dalam ucapan sulungnya pada 3 April lalu menyentuh mengenai penggunaan ISA. Gerakan masih berpendapat akta kuno ini masih relevan. Sungguhpun kita mempunyai banyak undang-undang lain yang boleh digunakan tanpa perlu mencabuli hak perbicaraan dan hak membela diri seseorang, Gerakan masih tidak mempercayai pendakwaan melalui proses penghakiman dan diadili.
Mengikut Gerakan, ISA tidak perlu dimansuh tetapi memerlukan pindaan. Persoalannya adakah sebarang pindaan kepada akta tersebut seseorang tahanan member keadilan kepada manusia?
Mengikut ISA; seseorang tahanan itu akan disoalsiasat oleh polis selama 60 hari tanpa mendapat akses kepada keluarga mahupun peguam. Malah selalunya, ahli keluarga tidak akan diberitahu di mana mereka akan ditempatkan bagi disoalsiasat (sebut brainwash). Selepas itu, tahanan akan dikenakan perintah tahanan di Kem Kamunting selama dua tahun. Apabila tamat dia tahun, kemudian dia tahun sehingga bila-bila atas keputusan yang dibuat oleh polis dan Menteri Dalam negeri berdasarkan laporan dari satu lembaga penasihat yang tidak bebas.
Mengikuti Ban Ah Kam (63), beliau pernah dipukul dengan batang penyapu dengan kuat ke arah badan, tangan dan kaku sehingga batang penyapu tersebut patah. Dia yang ditahan dari 9 November 1968 hingga 8 Disember 1978 juga dipaksa memanjat tiang bola keranjang untuk menghantar ‘telegram’. Perintah tersebut biasanya disampaikan bersama pukulan. Menurutnya lagi, tiada seorang pun daripada rakan-rakan dalam tahanan bersamanya yang tidak pernah dipukul atau ditendang.
Ban Ah Kam juga menceritakan megenai pengalaman rajan sepertahanannya, Liu Mulin dari Semenyih yang bekerja sebagai penoreh getah terpaksa menderita skizofrenia kerana tidak dapat menerima penahanannya dan ibunya yang tua terpaksa ditinggalkan keseorangan tanpa penjaga.
Bagi Gerakan, elemen-elemen ini perlu diberikan penelitian. Mungkin ahli parti tersebut tidak pernah mengalami pendakwaan di bawah ISA. Apatah lagi pemimpin. Adakah mereka tahu dan faham bagaimana layanan seseorang itu ditahan, sekurang-kurangnya dua tahun dan ada yang ditahan sehingga 16 tahun tanpa dibicarakan?
Sebagai sebuah parti politik yang tidak berpendirian tegas, Gerakan selalunya tidak mengambil sikap yang konkrit. Atas pendirian mereka agar akta ini dipinda, tidak dimansuhkan, adakah mereka bertujuan untuk menarik hati pengundi dan penyokong? Adakan sikap tersebut dapat menyelematkan hubungan mereka dengan parti-parti pemerintah BN yang lain?
Sikap yang dirasakan selamat seperti ini akhirnya memakan diri. Rakyat telah membuat keputusan dalam pilihan raya umum 2008 lalu di mana tahanan ISA yang diletakkan di Kota Alam Shah, menang sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri. Kekalahan teruk Gerakan di Pulau Pinang juga telah memberi isyarat.
Rujukan:
Rais Yatim, Freedom under Eecutive Power in Malaysia: A Study of Executive Supremacy, Endowment Sdn Bhd, Kuala Lumpur, 1995.
New Straits Times, 20 November 2002. “ISA has saved nation from many disaster”.
Wu Min Aun, The Malaysian Legal System, Longman, Petaling Jaya, 1999, hal. 269 disebut dalam Mohd Azizuddin Mohd Sani, Hak Asasi Manusia dan Hak Bersuara: Menurut Pandangan Uslam dan barat, PTS Publication & Distributions Sdn Bhd, bentong, 2002, hal 176.
Amnesty International Briefing, 20 Oktober 2001 disebut dalam New Internationalist, 345, Mei 2002, hal 34.
International Mission of Investigation, “Malaysia the Boar Constrictor”: Silencing Human Rights Defenders. Laporan dari The Observatory for the Protection of Human Rights Defenders yang terdiri daripada Suaram, FIDH (International Federation of Human Rights) dan OMCT (World Organisation Against Torture). Dalam persidangan European Parliament 13 Jun 2001, mengesyorkan Malaysia memansuhkan ISA setalah mengkaji laporan yang disediakan oleh SUHAKAM. (hal 9-10).
Eatwell, Roger et al, Contemporary Political Ideologies, Pinter, 2nd ed, 1999
Labels: Akta Keselamatan Dalam Negeri, Gerakan Mansuhkan ISA, ISA
0 Comments:
Post a Comment
<< Home