Bangkitlah Kaum Buruh & Petani
Menentang Ekstremis & Hipokrits!
~ faisal mustaffa online ~
 
Tuesday, December 06, 2005
'Biar rakyat tentukan Kerajaan Tempatan'
Bagaimana keadaan peneroka bandar di Kuala Lumpur?Bagi mencapai matlamat "Setinggan Sifar 2005', banyak penempatan peneroka bandar di Kuala Lumpur dipindahkan ke beberapa penempatan baru.
Masalah yang dihadapi oleh peneroka bandar yang berada sejak 30 tahun yang lalu kebanyakannya tidak ada pampasan yang setimpal diberikan oleh pihak pemaju mahupun penguasa tempatan dan sewenang-wenangnya merobohkan penempatan mereka.
Isunya ialah bukan kerana mereka tidak mahu berpindah tetapi tidak ada perundingan dibuat di antara kedua belah pihak.
Peneroka bandar hanya mahukan penempatan yang baru tidak jauh dari tempat kerja mereka dan terdapat kemudahan-kemudahan asas di tempat penempatan baru.
Masalah lain yang dihadapi oleh peneroka bandar ialah sukar untuk mendapat kelulusan bank kerana tidak mempunyai dokumen yang disyaratkan kerana kebanyakan mereka bekerja sendiri.
Dalam memberi pembelaan terhadap peneroka bandar, adakah anda menolak pembangunan?
Kita tidak menolak pembangunan, malah kita sokong mahukan pembangunan. Pada masa yang sama, kita tidak mahu melihat taraf penghidupan peneroka bandar tidak ada perubahan.
Dalam kes rumah pangsa Pekeliling, penghuni yang membeli rumah di situ dipaksa berpindah ke satu tempat yang di luar kemampuan mereka dan tidak ada kemudahan pengangkutan. Bagi yang menyewa pula, mereka tidak mempunyai pilhan dan diusir dari rumah pangsa itu.
Tapak rumah pangsa Pekeliling dicadangkan utuk dijadikan satu pusat perdagangan kerana lokasinya di tengah-tengah bandaraya.
Kepada golongan kurang upaya, pihak DBKL tidak mengasingkan mereka dan peruntukkan mereka di tingkat bawah rumah pangsa baru.
Sebab itu, kami berulang kali memohon perundingan dengan pihak DBKL untuk melihat perkara-perkara tersebut.
Sepatutnya, urusan perpindahan peneroka bandar mestilah adil kepada pihak yang mahu memajukan kawasan tersebut.
Bagaimana anda melihat peranan DBKL dan Kementerian Wilayah Persekutuan. Adakah terdapat percanggahanan protfolio antara dua unit ini?
Cuba kita imbas kembali pertelingkahan di antara bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Isa Samad dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ruslin Hasan. Sepatutnya pelaksanaan dasar-dasar di Kuala Lumpur berada di bawah kuasa Menteri Wilayah Persekutuan tetapi nampaknya, tugas-tugas tersebut dijalankan oleh Datuk Bandar.
Menurut Ruslin, beliau tidak menyalahgunakan kuasanya tetapi menjalankan tugas-tugas di bawah peruntukan-peruntukan diberi kepadanya sebagai Datuk Bandar.
Nampaknya, di sini ada pertentangan pendapat mengenai kuasa untuk melaksanakan dasar-dasar untuk membangunkan Wilayah Persekutuan. Semasa ketiadaan Kementerian Wilayah Persekutuan, kita masih dapati operasi pentadbiran Kuala Lumpur berjalan dengan agak teratur.
Dalam hal ini, banyak kali kami melakukan desakan supaya pihak kerajaan agar ahli Majlis Perbandaran dipilih secara pilihanraya.
Sejak awal 70an, pemilihan ahli Majlis Perbandaran pernah dipilih secara pilihanraya. Tetapi ianya dihentikan. Bagi pendapat anda, mengapa ini terjadi?
Pada pemilihan terakhir ahli Majlis Perbandaran di beberapa kawasan seperti di Pulau Pinang, Johor, Kuala Lumpur dan Melaka di mana undian penduduk memberikan kemenangan kepada parti pembangkang yang pada masa ituditunjangi oleh Fron Sosialis.
Kerajaan merasakan sekiranya mereka meneruskan dengan keadaan seperti itu, lambat-laun mereka tidak akan mendapat peluang lagi untuk menguasai pentadbiran kerajaan tempatan.
Sekarang, kita lihat apa yang berlaku, majlis-majlis perbandaran dilantik oleh orang-orang yang dirasakan boleh menyokong mereka. Oleh itu, keadaan sekarang ini banyak berlaku rasuah dan penyelewengan oleh mereka yang mentadbir majlis tempatan.
Oleh itu, Perdana Menteri serius untuk hapuskan rasuah, dia sepatutunya menghidupkan semula pilihanraya dalam kerajaan tempatan.
Dengan itu, penduduk tempatan boleh memilih seseorang yang dirasakan mampu untuk mewakili mereka dalam mengatasi masalah yang dihadapi oleh masyarakat setempat.
Melalui pilihanraya, mereka akan dipilih berdasarkan keupayaan dan kelayakan seseorang itu, bukan kerana kroni. Dengan cara ini, kita melatih lebih ramai lagi orang yang komited dan bertanggungjawab dengan tugas mereka.
Dengan cara ini, kita boleh mengurangkan gejala rasuah. Sekiranya ada peralakuan rasuah di kalangan pihak-pihak tersebut, maka sudah tentu orang -orang itu tidak akan dipilih lagi untuk mewakili mereka.
Pilihanraya tempatan juga akan memperbaiki imej kita di kalangan tempatan dan antarabangsa kerana negara kita terkenal sebagai salah satu negara pengamal rasuah terbesar di dunia.
Apa komen anda mengenai pededahan yang dilakukan melalui penerbitan buku "Skandal Seks Datuk Ruslin ' baru-baru ini?
Saya tertarik dengan isu ini tetapi ianya dengan tiba-tiba ia tidak lagi mendapat paparan media. Dengan itu, orang ramai tertanya-tanya kesahihan isu yang terkandung dalam buku berkenaan.
Sepatutnya, pihak berkuasa mengambil tindakan yang tegas dan membawa perkara ini ke mahkamah; samada penulis buku tersebut mahupun Ruslin sendiri.
Di mana-mana tempat juga di dunia ini, ibu negara akan menjadi penumpuan kepada pelancong. Di Kuala Lumpur, dengan perkembangan industri pelancongan, banyak gejala sosial berlaku termasuk pusat-pusat pelacuran. Bagaimana Kuala Lumpur dapat mengimbangi penambahan pelancong-pelancong luar ke Kuala Lumpur dan pada masa yang sama membendung masalah sosial di ibu negara?
Saya hairan mengapa pusat-pusat pelacuran seperti di Chow Kit dan Brickfields dapat beroperasi secara terbuka. Pihak berkuasa sepatutnya memastikan tempat-tempat seperti itu dikawal terutama sekali dari segi pengeluaran lesen-lesen bagi pusat hiburan.
Ada juga pusat-pusat ini beroperasi secara haram. Namun, kita lihat, ianya dilakukan secara terbuka seolah-olah ianya 'dilindungi' oleh pihak-pihak berkuasa tempatan. Unsur rasuah sudah tentu terdapat dalam keadaan seperti ini dan kita tahu, kedua-dua pihak; yang memberi dan yang menerima bersalah dalam keadaan sebegini.
Adakah anda setuju dengan tindakan Ahli Parlimen Lembah Pantai yang mengambil keputusan untuk menutup pusat-pusat hiburan di Bangsar Baru pada jam 11 malam?
Memang patut ianya dibuat sedemikian kerana Bangsar Baru adalah sebuah kawasan penempatan penduduk, bukannya pusat hiburan. Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Lembah Pantai sepatutnya peruntukkan satu kawasan khusus sebagai pusat hiburan supaya tidak mengganggu kawasan penempatan penduduk seperti di Bangsar Baru.
Adakah anda dapat melihat satu usaha yang baik dilakukan oleh kerajaan dalam menangani masalah kesesakan jalanraya di bandaraya?
Banyak cara yang dibuat oleh pihak kerajaan seperti membina sistem pengangkutan awam seperti LRT, Monorail dan Komuter. Lebuhraya juga bersimpang-siur keluar masuk bandaraya.
Masalahnya pembinaan stesen-stensen tersebut tidak menumpu di kawasan yang sepatutnya. Lantas, pengusaha teksi mengambil kesempatan untuk menaikkan tambang tanpa merujuk kepada kadar.
Penswastaan kepada sistem tersebut juga akan memberi kesempatan kepada pengusaha dengan meletakkan kadar tambang sesuka hati bagi memastikan mereka mendapat keuntungan. Tol juga dinaikkan dan memberi beban kepada pengguna lebuhraya.
Kempen yang dijalankan oleh pihak berkuasa juga seperti car-pool sebelum ini gagal menyesaikan masalah.
Apakah punca kegagalan tersebut?
Sikap tidak serius daripada pihak berkuasa itu sendiri dalam menjalankan kempen seperti 'melepaskan batuk di tangga.'
Kempen yang dijalankan oleh kerajaan juga tidak dapat memberi kesedaran yang mendalam kepada oran awam. Maka, wang dari orang awam digunakan hanya untuk mengayakan pengusaha-pengusaha iklan dan tabloid seluruh negara.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home