Bangkitlah Kaum Buruh & Petani
Menentang Ekstremis & Hipokrits!
~ faisal mustaffa online ~
 
Sunday, November 13, 2005
Azhari dipercayai bersedia lancar serangan bom
JAKARTA 12 Nov. - Dr. Azhari Husin yang terbunuh dalam serbuan polis Rabu lalu dipercayai telah bersiap sedia untuk melancarkan lagi siri serangan bom.Rancangan Azhari itu diperoleh selepas pegawai polis yang memeriksa rumah persembunyiannya menemui dokumen-dokumen yang memperincikan rancangan untuk melancarkan serangan baru.
Jurucakap polis Indonesia, Mejar Jeneral Aryanto Budihardjo yang mendedahkan perkara itu hari ini bagaimanapun enggan mengulas lanjut tentang rancangan pakar bom itu.
Sementara itu, Presiden Susilo Bambang Yudhoyono memberitahu perhimpunan ahli Parlimen antarabangsa di Jakarta bahawa polis turut menemui lebih banyak bom di dalam rumah sewa Azhari di Bandar Batu, Malang, Jawa Timur.
``Nampaknya kita telah menembak Azhari ketika dia hendak melancarkan serangan susulannya,'' kata beliau.
Seorang lagi suspek militan di dalam rumah itu dipercayai meletupkan dirinya semasa serbuan tersebut.
Sementara itu, akhbar Kompas memetik seorang pegawai polis sebagai berkata, Azhari merancang serangan bersepadu ke atas sekolah-sekolah dan gereja di seluruh negara pada akhir bulan ini.
Dengan menggunakan maklumat yang diperoleh dari rumah persembunyian Azhari, polis meningkatkan operasi untuk memburu rakannya, Nordin Mat Top yang sempat meloloskan diri daripada serbuan terhadap tempat persembunyiannya di pekan Semarang, Jawa Tengah.
Di dalam rumah persembunyian Nordin, polis menemui rakaman video yang menyiarkan pengakuan tiga pengebom berani mati dalam serangan di Bali pada 1 Oktober lalu.
Dalam rakaman itu mereka bertiga memaklumkan keluarga masing-masing mengenai kesediaan mereka untuk mati syahid.
``Kami boleh melihat dan mendengar dengan jelas pengakuan mereka kepada keluarga masing-masing bahawa mereka sudah bersedia untuk melakukan tindakan yang mereka anggap suci,'' kata Menteri Penerangan, Sofyan Djalil yang menonton video itu dalam mesyuarat Kabinet semalam.
Kata Sofyan, video itu dirakamkan untuk `kegunaan dalaman' kumpulan itu, bukan untuk diedarkan kepada media seperti yang sering dilakukan oleh kumpulan militan di Asia Barat.
Polis Indonesia juga dilaporkan telah menjumpai tempat penyimpanan bahan peledak, senjata, dan amunisi di kawasan hutan Baosan, Ngrayun, Ponorogo. - Agensi
0 Comments:
Post a Comment
<< Home