Klik sini untuk membeli Buku dan VCD Keadilan terbaru !
Faisal Mustaffa's Facebook profile


Bangkitlah Kaum Buruh & Petani
Menentang Ekstremis & Hipokrits!


~ faisal mustaffa online ~


 

Tuesday, February 17, 2004

Arikel di bawah akan terbit di ruangan Minda dalam Suara PRM terbaru

ABDULLAH DENGAN KORUPSI
CABARAN SELEPAS 100 HARI

S. Husin Ali

Sempena 100 hari Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri, media
perdana yang dimiliki atau dipengaruhi UMNO-BN telah menghidangkan pembaca
dengan jamuan berita mewah mengenai kejayaan dan janji-janji Abdullah. Janji
beliau yang terutama ialah untuk memerangi korupsi.

Dalam seminggu selepas tamat seratus hari itu, Badan Pencegah Rasuah (BPR)
telah bertindak menangkap Eric Chia, bekas Pengarah Pengurus Perwaja, dan
Kasitah Gadam, Menteri Tanah dan Kemajuan Koperasi, dan menghadapkan mereka
ke mahkamah atas tuduhan melakukan korupsi.

Kenduri berita mewah berterusan. Walaupun media tersebut tidak
mengheboh-hebohkan, namun mereka jelas membayangkan bahawa dua tindakan ini
membuktikan Abdullah sudah mengotakan kata hendak memerangi korupsi.
Malangnya, Abdullah seolah mash main-main perang saja, belum betul-betul
serius.

Penangkapan Eric Chia memeranjatkan sebab beliau sudah sembilan tahun
dilindungi oleh Mahathir Mohamad. Tetapi tuduhan ke atasnya, yang bertumpu
hanya kepada pembayaran RM76.4 kepada syarikat hantu, menjadi anti-klimaks.
Apa sudah jadi kepada kerugian kira-kira RM3 bilion, hutang bank hampir
RM7bilion, kontrak tanpa tender, bayaran RM13 juta kepada peguam Mahalingam
yang telah membawa Hakim Negara Yusof Chin bercuti keluar negara?

Mengenai Kasitah Gadam pula, ini bukan kali pertama menteri didakwa kerana
korupsi. Menteri Pelajaran dalam kabinet Tunku Abdul Rahman, Rahman Talib,
dan MB Selangor Harun Idris di bawah pentadbiran Hussein Onn telah dihukum
mahkamah. Siasatan ke atas Kasitah selesai dibuat oleh BPR kira-kira lapan
tahun dahulu. Tetapi, walaupun kesnya diketahui, Mahathir melantiknya semula
sebagai menteri.

Memang sudah menjadi pengetahuan umum bahawa siasatan telah dilakukan ke
atas Rafidah Aziz dan Megat Junid kerana pemberian saham kepada anggota
keluarga mereka, dan juga ke atas Rahim Tamby Chik kerana beberapa amalan
rasuah. Kertas pertuduhan telahpun disiapkan oleh kamar Peguam Negara, dan
ditandatangani oleh Ghani Patail, yang waktu itu menjadi pegawai di kamar
tersebut.

Tetapi Mahathir membersihkan nama Rafidah dalam Parlimen; sebelum itu
Rafidah mengugut akan membongkar nama menteri lain sekiranya tindakan
diambil ke atasnya.
Adakah sekarang ini BPR diberi kebebasan untuk mengambil tindakan ke atas
Rafidah, Rahim dan Megat Junid? Setakat ini, hanya Ezam Mohd Nor, ketua
Angkatan Muda keADILan yang telah dipenjarakan kerana melaporkan semula kes
Rafidah dan Rahim.

Bagaimana pula dengan laporan-laporan polis terhadap Samy Vellu berhubung
Maika, Lim Liong Sik mengenai kekayaan anak mudanya, Najib dengan pembelian
senjata dan ramai lagi? Apa sebabnya kes Airod senyap begitu saja? Adakah
kerana Hamid Albar, Jamaludin Jarjis dan juga Abdullah adalah terlibat?

Bahkan adakah BPR akan bebas menyiasat laporan-laporan terhadap anak dan
adik Abdullah? Anaknya menguasai SCOMI, dan saham syarikat ini naik 1000
peratus di pasar saham selepas beliau mengambil alih. Begitu juga beliau
diberikan tender menyediakan makanan untuk syarikat penerbangan MAS dengan
janji untung 80 peratus terjamin selama sembilan tahun. Adakah ini boleh
berlaku kalau beliau bukan anak Abdullah? Adik Abdullah pula telah diberi
kontrak membekal makanan kepada angkatan tentera, semasa Abdullah menjadi
Menteri Pertahanan.

Rancangan penswastaan pemerintah telah menimbulkan berbagai-bagai amalan
korupsi dan kronisme yang mengaitkan keluarga dan suku-sakat pemimpin
politik pemerintah. Perkhidmatan elektrik, pos, air yang penting dan
menjamin keuntungan besar diswastakan. Sebelum pilihanraya 1999 ada
rancangan untuk menswastakan hospital dan bermacam-macam perkhidmatan
berhubung dengannya yang belum diswasta lagi.

Oleh kerana rakyat dan parti-parti pembangkang serta NGO menentang kuat
terhadap rancangan ini, pemerintah berjanji tidak akan meneruskannya. Kini
diketahui bahawa kira-kira tiga bulan lalu, selepas Abdullah mengambil pucuk
pimpinan negara, keputusan telah dibuat untuk mengkorporatkan hospital sera
perkhidmatan kesihatan. Ini pasti akan berakhir dengan penswastaan. Adakah
ini bertujuan untuk memberikan kontrak kepada kroni-kroni yang baru pula?

Kita diberitahu korupsi bukan terbatas kepada wang dan kontrak saja. Anwar
dipenjara enam tahun atas tuduhan cuba mempengaruhi polis, yang dianggap
sebagai korupsi. Kalau ini korupsi, bagaimana dengan perbuatan Mahathir
mempengaruhi, bahkan menguasai polis dan kehakiman? Beberapa orang hakim,
termasuk Fairuz, Augustine Paul dan Pajam Singh, yang membantu memastikan
supaya Anwar dihukum, telah naik pangkat. Kemudian mereka terus dipilih
untuk mendengar kes rayuan Anwar. Apa lagi?

Sebenarnya, ada jenis korupsi yang lebih serius, tetapi sengaja tidak
dihiraukan sangat oleh pemimpin-pemimpin UMNO-BN, kerana mereka sendiri
melakukannya, iaitu politik wang. Mahathir pernah menyelar amalan politik
wang, tetapi lebih membataskannya kepada hanya pembelian undi untuk mendapat
jawatan dalam UMNO. Beliau sedar, jikalau politik wang tidak disekat dalam
UMNO, jawatan beliau sendiri akan terancam. Walau bagaimanapun politik wang
dalam UMNO masih belum hapus.

Sebaliknya, politik wang yang dilakukan sebelum atau semasa pilihanraya
umum, yang luas dan terang-terang dilakukan untuk membeli undi , tidak
pernah diselar, apatah lagi diambil tindakan. Sebabnya, ia menjamin UMNO-BN
terus berkuasa, kerana mereka saja yang mampu membeli undi. Adakah Abdullah
akan bertindak dalam hal ini?

Baru-baru ini 12 orang anggota keADILan telah pulang kepada UMNO, parti asal
mereka. Sudah diketahui umum sekarang ini bahawa mereka ditarik dengan
bayaran wang, walaupun mereka sudah lama tidak puas hati dan merancang untuk
pulang kepada UMNO. Mereka ini memang sudah biasa dengan kehidupan mewah
dalam UMNO dulu, dan tidak tahan lagi dengan segala tekanan akibat berjuang
dengan keADILan.

Sekarang ini sudah terbongkar bahawa Najib, melalui datuk-datuk yang menjadi
kroninya, telah membayar pendahuluan RM25 ribu kepada tiap-tiap seorang
dengan janji akan menambahnya. Bukankah ini rasuah? Saya setuju dengan
gesaan Timbalan Ketua Angkatan Muda keADILan, Faizal Sanusi, supaya Najib
disiasat dan diambil tindakan oleh pihak BPR dan polis.

Sebelum ini, kita mendengar bahawa di Kelantan banyak ibu-bapa murid
sekolah diberikan sehingga RM500, kononnya sebagai bantuan. Kalau
benar-benar hendak membantu keluarga susah memang tidak ada salahnya. Akan
tetapi, penghulu dan pemimpin UMNO tempatan mengugut bahawa jikalau ibu-bapa
itu tidak mengundi UMNO, jaga-jagalah. Mereka menggertak ada cara untuk
mengetahui siapa mengundi parti mana.

Di Terengganu pula, wang royalti minyak telah dibolot oleh UMNO dan
digunakan untuk memberi sebahagian daripada wang itu kepada mereka yang
dianggap “miskin”. Pada hal selama mereka memerintah Terengganu dulu kadar
kemiskinan semakin bertambah dan hutang negeri kepada pusat semakin naik.
Jumlah berjuta-juta diberikan kepada pemimpin UMNO negeri pula dengan tujuan
melaksanakan projek-projek yang boleh memberikan peluang kontrak dan rasuah.

Perang menghapuskan korupsi yang diisytiharkan oleh Abdullah memang perlu.
Tetapi ia harus dilaksanakan secara menyeluruh dan bukan dengan terbatas
cara pilih-pilih. Abdullah mesti perang cara betul-betul dan jangan
kelihatan main-main perang saja untuk pilihanraya. Jikalau tidak, dalam
jangka setahun dua lagi, rakyat tidak akan mempercayainya lagi.

12hb Februari 2004

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

Get awesome blog templates like this one from BlogSkins.com