Bangkitlah Kaum Buruh & Petani
Menentang Ekstremis & Hipokrits!
~ faisal mustaffa online ~
 
Thursday, February 12, 2004
BELUM CUKUP DENGAN MENANGKAP KASITAH GADAM
Parti Keadilan Rakyat (keADILan) mengalukan tindakan Bada Pencegah Rasuah (BPR) menangkap dan mendakwa Kasitah Gadam, Menteri Tanah dan Koperasi, atas tuduhan korupsi. Tetapi penangkapan beliau ini masih belum menjadi bukti cukup bahawa Abdullah benar-benar serius dan akan berkesan membanteras korupsi.
Sebenarnya korupsi sudah menjadi penyakit yang sangat kronik dalam masyarakat, terutama di kalangan pemimpin-pemimpin tertinggi dalam pemerintahan UMNO-BN. Abdullah perlu memberi kebebasan penuh kepada BPR untuk bertindak lebih luas lagi, supaya penangkapan Kasitah, dan sebelum itu Eric Chia, tidak akan berakhir di situ saja.
Ramai orang mengetahui kertas pertuduhan terhadap Datuk Seri Rafidah Aziz dan Tan Seri Rahim Tamby Chik telah pun disiapkan dan ditandatangani oleh tidak lain tidak bukan Tan Sri Abdul Ghani Patail sendiri sebelum beliau menjadi Peguam Negara. Tetapi kertas pertuduhan ini ditarik balik kerana Perdana Menteri waktu itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, membersihkan nama Rafidah dalam Parlimen, setelah Rafidah mencabar akan mendedahkan nama menteri-menteri lain. Sekarang bagaimana?
Bagaimana pula juga dengan menteri-menteri yang telah dibuat laporan-laporan polis ke atas mereka, seperti: Datuk Seri Najib, Datuk Seri Samy Vellu, Datuk Seri Lim Liong Sik, Tan Sri Megat Junid, Tun Daim Zainuddin, bahkan juga Tun Dr Mahathir? Seterusnya, Datuk Seri Abdullah sendiri perlu membersihkan nama dengan membenarkan siasatan dan tindakan diambil ke atas anak, adik dan diri beliau sendiri. Sekiranya segala ini tidak dilakukan, ramai tidak akan yakin Abdullah benar-benar serius.
Memang benar penangkapan dan hukuman ke atas menteri atau tokoh-tokoh korporat tidak akan menjamin rasuah dapat dihapuskan. Tetapi, ia boleh memberikan mesej yang jelas dan mengakibatkan bakal perasuah memikir dua
kali sebelum melakukan perbuatan rasuah yang sangat jijik itu. Oleh kerana korupsi sebenarnya paling teruk di kalangan para pemimpin politik, dan pengaruh buruknya mudah meluas di kalangan lain, maka tindakan hendaklah ditutamakan terhadap mereka.
Tindakan ke atas Kasitah dan Eric Chia tidak harus terbantut di situ saja, sebagai token dan untuk memisungkan perhatian rakyat dari yu-yu ganas di tepi kain dan di sekeliling pinggang Perdana Menteri. Kita juga tidak harus terbawa-bawa dengan berita yang dibesar-besarkan oleh media mengenai dua penangkapan ini sehingga terlupa akan masalah-masalah ekonomi dan sosial yang serius juga.
Dr Syed Husin Ali
Timbalan Presiden
Parti Keadilan Rakyat
12 Februari 2004
0 Comments:
Post a Comment
<< Home