Klik sini untuk membeli Buku dan VCD Keadilan terbaru !
Faisal Mustaffa's Facebook profile


Bangkitlah Kaum Buruh & Petani
Menentang Ekstremis & Hipokrits!


~ faisal mustaffa online ~


 

Saturday, April 15, 2006

ISA Mala Fide: GMI terus berjuang


Sungguhpun tidak menampakkan sebarang kemajuan ke arah pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), gerakan yang ditubuhkan khusus untuk memberi kesedaran mengenai akta zalim itu, Gerakan Manushkan ISA (GMI) terus komited dalam lapangan mereka dalam memansuhkan akta tersebut.

GMI yang ditubuhkan lima tahun dahulu ketika sepuluh aktivis reformasi ditahan di bawah akta tersebut. Mereka didakwa oleh kerajaan Malaysia cuba menggulingkan kerajaan dengan cara militan. Ketua Polis Negara pada ketika itu, Tan Sri Norian Mai juga telah memberi kenyataan dengan menduduh mereka kaedah penggulingan yang mereka cadangkan termasuk dengan menggunakan molotov cocktail.

Mereka yang ditahan ketika itu ialah Ezam Mohd Noor, Saari Sungib, Hishamuddin Rais, Tian Chua, Badaruddin Ismail, N Gobalakrishnan, Ghani Haron, Raja Petra kamarudin, Badrulamin Baharom dan Lokman Noor Adam.

“Namun, pihak kerajaan gagal mengemukakan sebarang bukti,” kata Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh.

Dalam sidang media yang diadakan pada 14 April lepas, gerakan itu memberitahu mengenai organisasi hak asasi manusia antarabangsa, Amnesty International yang telah mengisytiharkan sepuluh aktivis sebagai ‘tahanan politik.’

Amnesty International juga menyokong kempen anti ISA yang dianjurkan oleh GMI dengan memaparkan isu ISA di ruang utama laman web mereka.

Talam Dua Muka

GMI berpendapat Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bersikap talam dua muka ketika beliau membuat kenyataan pada 22 Februari lalu mendesak kerajaan Amerika menutup Kem Tahanan Guantanamo Bay. Beliau menegaskan bahawa adalah lebih baik bagi pihak Amerika menutup kem tersebut kerana berlakunya penyeksaan di sana.

Bagi GMI, Kem Tahanan Kamunting yang menahan tahanan ISA juga adalah tempat menyeksa tahanan dan oleh itu tidak banyak bezanya dengan Guantanamo Bay.

“Jika Abdullah tidak menggunakan prinsip yang sama (menutup Kem Tahanan Kamunting), maka nasihat beliau kepada Amerika hanya merupakan satu sandiwara politik,” kata Syed Ibrahim lagi.

Mala Fide

Dalam penghakiman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Persekutuan Malaysia, penahanan mereka itu tidak sah dan mala fide (berniat jahat).

Lembaga Penasihat ISA juga berpendapat sama dan mencadangkan supaya tahanan Reformasi tersebut dibebaskan.

Menurut Syed Ibrahim dalam kenyataan yang dibacakan ketika sidang media itu, beliau berkata, dalam tempoh tahanan selama dua tahun tersebut, tahanan-tahanan tersebut tidak pernah berputus asa dalam memperjuangkan kebebasan mereka.

“Mereka mengadakan protes seperti mogok lapar, eggan berjumpa dengan pegawai-pegawai cawangan khas (SB), tidak hadirkan diri di perhimpunan pagi dan sebagainya,” kata Syed Ibrahim lagi.

“Dalam pada itu, keluarga tahanan Reformasi juga giat berusaha untuk membebaskan ahli keluarga mereka yang mereka sayangi,” tambah beliau lagi.

Malalui GMI, keluarga tahanan Reformasi telah menggunakan segala cara termasuk kempen kesedaran untuk membantah kezaliman ISA yang membenarkan penahanan tanpa bicara.

Antara isteri tahanan yang turut hadir dalam sidang media itu ialah Aliza Jaffar (isteri kepada Saari Sungib) dan Vasathi (isteri kepada Gobalakrishnan).

Menurut Syed Ibrahim, pembebasan dua orang tahanan Reformasi terakhir; Hishamuddin dan Tian Chua pada 12 Jun 2003 telah menandakan satu kemenangan yang besar dalam sejarah kempen membantah ISA.

Di bawah ISA, mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk campur tangan atau meneliti keputusan yang dibuat oleh menteri Keselamatan Dalam Negeri.

Kelonggaran system semak dan imbangan telah memburukkan salahguna kuasa polis.

Bagi GMI, Malaysia tidak boleh menggelarkan dirinya sebagai sebuah Negara demokrasi jika undang-undang yang membenarkan penahanan tanpa bicara masih wujud.

Justeru, GMI telah membuat gesaan agar system kehakiman yang bebas dikembalikan untuk mencegah kes salahguna kuasa poils dan kerajaan.

GMI juga mendesak agar kerajaan menerima saranan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam). Lebih menyedihkan ialah apabila laporan tahunan Suhakam itu tidak diberi peluang untuk dibentangkan di Parlimen untuk enam tahun berturut-turut semenjak tahun 2000.

“Malah, kerajaan Malaysia telah mempergunakan tragedy 11 September sebagai alasan untuk terus menzalimi rakyat dengan menggunakan ISA,” kata Syed Ibrahim

Kempen Berterusan

Sehingga hari ini, terdapat lebih daripada 100 orang tahanan ISA yang masih merengkok di Kamunting. Pelbagai tuduhan dilemparkan kepada mereka yang ditahan, antaranya KMM (Kumpulan Mujahidin Malaysia / Kumpulan Militan Malaysia), JI (Jemaah Islamiyah), pemalsuan syiling/MyKad dan sebagainya.

Mereka dikatakan tidak diberi peluang untuk membela diri di mahkamah terbuka dan adil.

Setakat ini, GMI telah menghantar surat rasmi protes kepada pihak berkuasa, termasuk Perdana Menteri yang juga selaku Menteri Keselamatan Dalam Negeri; Pengerusi kaukus Hak Asasi Parlimen, Datuk Seri Nazri Aziz; mufti-mufti dari negeri berlainan.

Walupun tidak mendapat sebarang maklumbalas, GMI tetap cekal meneruskan kempen memansuhkan ISA dengan merekacipta lencana dan pelekat kereta baru yang bakal dilancarkan.

GMI juga akan mencetak buku tentang penyeksaan yang dialami oleh bekas tahanan ISA.

Selain wakil GMI, turut hadir di sidang media itu ialah enam antara sepuluh tahanan Reformasi hadir. Masing-masing memberitahu kaedah penahanan mereka. Namun, cara soalselidik yang dijalankan selama 60 hari adalah sama bagi kesemua tahanan tersebut.

Dalam ucapan yang disampaikan oleh Ezam, beliau mencabar pihak kerajaan untuk mendakwa beliau dengan tuduhan cuba menggulingkan kerajaan dengan cara militant ke mahkamah terbuka.

Sungguhpun beliau telah bebas, beliau berharap agar akta yang jelas disahkan oleh Mahkamah bahawa kerajaan telah menyalahgunakan ISA untuk agenda politik mereka suapay didedahkan.

Ezam juga menganggap ISA sebagai lambing kegagalan Abdullah sebagai Perdana Menteri kerana gagal membuat sebarang pengubahsuaian terhadap akta tersebut.

Beliau juga menyeru supaya parti-parti politik menggunakan ISA sebagai salah satu agenda politik mereka.

“Lima tahun sudah berlalu dan ia memberi pengajaran kepada kita supaya berjuang bersungguh-sungguh ke arah sebuah negara demokrasi,” kata Ezam.

Sidang media itu dipengerusikan oleh Latheefa Koya yang juga bertindak sebagai salah seorang peguam yang mewakili mangsa-mangsa tahanan ISA itu.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

Get awesome blog templates like this one from BlogSkins.com