Klik sini untuk membeli Buku dan VCD Keadilan terbaru !
Faisal Mustaffa's Facebook profile


Bangkitlah Kaum Buruh & Petani
Menentang Ekstremis & Hipokrits!


~ faisal mustaffa online ~


 

Sunday, November 13, 2005

Najib lega pemburuan Dr Azahari berakhir

(sumber: Berita Minggu)

MAKASSAR (Sulawesi): Datuk Seri Najib Tun Razak (gambar) berasa lega episod pemburuan Dr Azahari Husin sudah berakhir dan berharap Malaysia dan Indonesia akan bebas daripada serangan pengganas.

Bagaimanapun, kata Timbalan Perdana Menteri, usaha membanteras pengganas perlu diteruskan sehingga kedua-dua negara benar-benar bebas daripada ancaman pengganas.

Beliau berkata, Kuala Lumpur bersyukur kerana episod pemburuan Dr Azahari yang disyaki terbabit melakukan letupan bom di beberapa tempat di negara ini sudah berakhir dan mengucapkan tahniah kepada pemerintah Indonesia.

"Saya berharap kerjasama kedua-dua negara bagi membanteras kegiatan pengganas dapat diperhebatkan lagi bagi memastikan Malaysia dan Indonesia bebas dari ancaman anasir berkenaan," katanya pada sidang media bersama dengan Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla pada akhir lawatannya di sini, semalam.

Najib yang turut disertai isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, mengakhiri lawatan kerja dua hari di sini semalam.

Beliau turut ditanya mengenai pendedahan kepada budaya Bugis yang diberikan kepada beliau sepanjang dua hari berada di sini dan bagaimana beliau melihat ia dalam konteks kesatuan orang Bugis Malaysia dan Indonesia.

Timbalan Perdana Menteri berkata beliau tidak mahu disalah anggap bahawa Pertemuan Saudagar Bugis-Makassar yang beliau rasmikan bersama Jusuf pagi semalam sebagai usaha untuk mewujudkan pendekatan sentimen Bugis.

"Ini kerana kami berdua pemimpin nasional dan sebagai pemimpin nasional kami bertanggungjawab membela semua kaum. Namun keistimewaan yang dilihat mengenai sejarah dan falsafah orang Bugis dan boleh dihayati ialah semangat mereka untuk menerokai cabaran baru.

"Sejarah dan falsafah ini boleh kita terapkan untuk memajukan diri dalam konteks nasional, bukan dalam konteks kesukuan," katanya.

Sementara itu Jusuf Kalla berkata, pertemuan empat mata dengan Najib semalam, lebih kepada membincangkan hubungan silatulrahim, selain menyentuh juga kerjasama kedua-dua negara, khususnya bagaimana kedua-dua negara perlu meningkatkan lagi kerjasama di bidang ekonomi, sosio budaya dan merapatkan lagi hubungan bilateral.

Ditanya mengenai isu Ambalat, beliau berkata rundingan masih berjalan dan berharap mudah-mudahan penyelesaian positif akan dapat dicapai dalam sedikit masa lagi.

"Mudah-mudahan kita akan dapat mencapai satu keputusan yang saling menguntungkan kedua-dua pihak. Saya yakin ia akan dapat menguntungkan kedua-dua pihak jika diselesaikan secara bijaksana dan tidak menyebabkan hubungan kedua-dua negara terganggu," katanya.

Sementara itu, Najib dianugerahkan gelaran Bangsawan Gowa iaitu anugerah 'I Mappa Dulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrabone Sultan Abdul Jalil' manakala isterinya dianugerahkan gelaran ' I Minasa Daeng Sunggu Karang Bonto Mate Ne Sultan Abdul Jalil' dalam satu upacara penuh adat istiadat di Rumah Kerajaan Lama Gowa, Istana Tamalate, di sini semalam. Anugerah disampaikan oleh Bupati Gowa, H Ichsan Yasin Limpo.

Najib menyatakan perasaan terharunya terhadap penghormatan gelaran itu dan berharap ia menjadi satu manifestasi bahawa hubungan antara kedua-dua negara sama ada di peringkat pemimpin mahupun peribadi, amat akrab sekali.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

Get awesome blog templates like this one from BlogSkins.com