Klik sini untuk membeli Buku dan VCD Keadilan terbaru !
Faisal Mustaffa's Facebook profile


Bangkitlah Kaum Buruh & Petani
Menentang Ekstremis & Hipokrits!


~ faisal mustaffa online ~


 

Friday, April 17, 2009

Najib Mula Guna ISA


Sidang media GMI di Suhakam


Kaum keluarga tahanan

Perdana Menteri Malaysia yang baru, Datuk Seri Najib Razak telah menunjukkan taringnya kepada rakyat dengan menggunakan akta yang paling ditakuti rakyat Malaysia, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dengan tiga orang baru ditahan untuk disoalsiasat.

Ketiga-tiga tahanan baru itu; Agus Salim (32), Abdul Matin bin Anol Rahmat (60) dan Johar bin Hassan ditahan pada awal peralihan kuasa. Agus ditahan pada 5 Mac di tempat perniagaannya manakala Abdul Matin ditahan pada 1 April di kediamannya. Tidak ada laporan yang dapat diperolehi bagi pihak Johar.

Walaupun penangkapan tersebut berlaku sebelum Najib menjadi Perdana Menteri ke-6, namun ini adalah satu bukti yang amat nyata di mana kerajaan Malaysia akan emnggunakan ISA untuk kemandirian mereka.

Ketika memberi ucapan sulungnya pada 3 April lalu, Najib yang berjanji untuk mengkaji semula ISA, dan mengumumkan pembebasan 13 tahanan. Namun, setelah diteliti, pembebasan tersebut juga disertai dengan sekatan tertentu termasuk tidak dibenarkan ke luar daerah dan terpaksa melaporkan diri di balai polis tertentu dalam jangkamasa terentu.


Walaupun di satu sudut mereka membebaskan tahanan dengan bersandarkan kepentingan rakyat dan hak asasi manusia, namun di sudut lain mereka melanggar prinsip yang sama dan masih menahan rakyat Malaysia secra arbitrari dan tanpa bicara.

Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) mengklasifikasikan cara penahanan ini adalah yang paling zalim sejak 10 tahun yang lalu kerana ahli keluarga mahupun peguam tidak diberi sebarang maklumat mengenai kedudukannya sekarang.


Semasa Agus dan Abdul Matin ditahan, mereka diberi nombor dan pegawai yang bertugas untuk dihubungi di Bukit Aman tetapi ianya tidak dapat dihubungi.

Kesemua mereka ditahan di Johor di bawah Seksyen 73 (1) ISA 1960 semakan 1972 iaitu penahanan selama tempoh 60 hari untuk disoal-siasat. Tempoh 60 hari di bawah ISA merupakan satu tempoh berlakunya proses intimidasi serta penyeksaan fizikal dan mental terhadap tahanan.

Penahanan ketiga-tiga mereka ini tidak diumumkan oleh pihak berkuasa polis atau kerajaan dalam mana-mana saluran media. Mereka digelapkan daripada sebarang maklumat tentang keadaan dan di mana mereka ditempatkan.

Menurut adik Agus yang ditemui, Junaidi Salim (27) abangnya ditahan ketika selepas solat Asar dan memakai apron untuk meneruskan kerjanya sebagai tukang masak di sebuah restoran tomyam di Larkin, Johor.

Agus yang berasal dari Medan, Indonesia didatangi seorang anggota polis yang menyampaikan sepucuk surat yang mengatakan bahawa dia ditahan. Rumahnya digeledah dan semuanya dirakan dengan kamera video oleh polis. Lima buah kereta polis megiringi tahanan tersebut.

Abdul Matin pula ditahan pada Rabu, 1 April lalu jam 7.30 pagi di Ulu Tiram, Johor Bahru di mana ketika ditahan beliau didatangi 12 anggota polis membawa surat penahanan tersebut. Abdul Matin dituduh sebagai ahli Jemaah Islamiyah (JI).

Suhakam Keji Tindakan Kerajaan

Sewaktu memorandum dihantar oleh GMI kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) 17 April lalu di ibu negara, pesuruhjayanya Datuk Siva Subramaniam berkata Suhakam telah menyatakan bahawa ISA ialah sebuah akta yang tidak berlandaskan kepada hak asasi manusia.

Suhakam telah mengadakan bersiri lawatan ke pusat tahanan dan melihat sendiri keadaan mereka. Mereka juga dipisahkan oleh cermin penghadang ketika dilawati ahli keluarga dan peguam.

Dalam implikasi secara tidak langsung pula, Siva memberitahu bahawa ada bekas tahanan yang kehilangan ahli keluarga terutama sekali apabila ditinggalkan isteri dan sukar untuk mendapat sebarang pekerjaan.

Pada tahun 2003, Suhakam pernah mencadangkan supaya ISA dimansuhkan dan diganti dengan akta baru seperti Akta Terorisme tetapi tidak pernah diteliti oleh kerajaan atau dibentangkan di Parlimen.

ISA membenarkan penahanan tanpa perbicaraan dan tanpa perlu kepada pembuktian. ISA juga membenarkan kuasa yang luas, arbitrari dan tidak boleh dicabar mahkamah yang menyebabkan berlakunya penyeksaan fizikal dan mental seperti mana yang telah terbukti dalam banyak kes terdahulu.

Labels: , ,

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

Get awesome blog templates like this one from BlogSkins.com