Klik sini untuk membeli Buku dan VCD Keadilan terbaru !
Faisal Mustaffa's Facebook profile


Bangkitlah Kaum Buruh & Petani
Menentang Ekstremis & Hipokrits!


~ faisal mustaffa online ~


 

Saturday, April 18, 2009

Koalisi Penentu Kekuatan

Kain rentang kempen PKB tidak dibenarkan memaparkan Gus Dur dan cuba menampilkan pemimpin pecahannya, Muhaimin Iskandar

Ketua Badan Pemenangan Pemilu Legislatif PDI-P, Tjahjo Kumolo

Selepas pemilihan umum Indonesia yang diadakan lima tahun sekali, masanya kini tiba untuk percaturan untuk sebarang penggabungan dari konteks menentukan ketua Negara (sebut: Presiden).

Semasa kempen pilihan umum Mac lalu, banyak pihak yang sudah membicarakan mengenai koalisi yang mahu dibentuk samada ianya berbentuk koalisi besar, mahupun koalisi kecil.

Koalisi besar didefinisikan sebagai gabungan antara parti terbesar dan parti paling berpengaruh di parlimen. Parti-parti itu di dalam koalisi itu nanti memiliki majoriti besar da hanya menghadapi sedikit pembangkang di parlimen. Koalisi kecil pula bermatlamat untuk kemenangan minimal yang secara pengiraannya memiliki peluang yang lebih kecil untuk menguasai majoriti parlimen (Rainer Adam 2007).

Sudah tentu dalam konteks ini, ramai yang lebih berminat untuk melihat koalisi besar yang dipercaturkan kerana ini yang akan menentukan kekuatan pentadbiran Negara, bukannya kerusi parlimen.

Di dalam keadaan yang berlaku di Indonesia, apa yang pasti Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dan Wakil Presiden Jusuf Kalla tidak akan digandingkan lagi. Malah, Kalla dari Partai Golkar sudah amat berkeyakinan bahawa dia mampu untuk bertanding bagi kerusi Presiden Indonesia sehingga 2014. Koalisi sebelum ini tidak mendatangkan sebarang pemasalahan bagi kedua pihak. Cuma Kalla merasakan dia berada dalam jurusan yang betul; langkah demi langkah dari jawatan menteri ke jawatan Wakil Presiden hingga tiba masanya untuk sampai ke puncak kuasa.

Golkar juga sejak kempen pilihan umum itu lagi sudah membincangkan perlawanan Golkar menentang Partai Demokrat untuk calon presiden. Di antara strategi tekanan yang dimainkan Golkar ialah dengan penerbitan buku berjudul ’99 Alasan Mengapa JK Pantas Menjadi Presiden’. Buu tersebut akan diterbitkan setelah mantan Menteri Koordinator Kesejahteraan Rakyat secara rasminya menjadi calon Golkar.

Setakat ini, Partai Kebangsaan Bangsa (PKB) sudah menyatakan keputusan mereka secara terbuka untuk mendokong Partai Demokrat. Bagi Partai Keadilan Sejahtera (PKS) pula tidak tetap pendiriannya dan mundar mandir samada untuk bekerjasama dengan Golkar ataupun Demokrat.

Memandangkan Golkar dan Demokrat tidak berkemungkinan berkoalisi, maka Partai Demokratik Indonesia Perjuangan (PDI-P) pimpinan Mengawati Soekarnoputri mendapat kaedah koalisi yang mungkin memenangkannya. Lagi pun, menurut quick count Jusuf Kalla tidak mendapat undi seperti yang diharapkan. Maka, ini member peluang kepada Megawati untuk menjadi Presiden dan digandingkan dengan Sri Sultan Hamengku Buwono dari Partai Golkar.


Mengikut hasil quick count yang dibuat oleh beberapa badan bebas, Partai Demokrat mendapat suara terbanyak. Namun, semuanya masih belum pasti.

Koalisi di Malaysia

Koalisi di Malaysia pula tidak seteruk Indonesia. Pemfokusan boleh dibuat dengan teliti dan strategi meleset dapat dikurangkan sebanyak mungkin.

Di pihak parti pemerintahan mereka pula sudah mula menadakan perbincangan yang sama. Bermula dengan tsunami politik 8 Mac dengan kekalahan bersejarah Barisan Nasional (BN), mereka mula mencadangkan agar UMNO bergabung dengan PAS bagi memperkuatkan dokongan dan membela nasib golongan Melayu di Negara ini.

Namun, Mursyidul Amnya, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat tidak bersetuju dengan menyatakan usaha tersebut pernah gagal sebelum ini dan tidak mahu mengulangi kesilapan yang sama.

Keluarnya SUPP dari BN membawa spekulasi bahawa parti yang mempunyai dua anggota di parlimen itu akan menyertai Pakatan Rakyat. Ianya tidak berlaku.

Atas kesedaran pengundi bahawa parti politik perkauman tidak lagi relevan, MCA dan MIC pula dicadangkan agar bergabung bersama Parti Tindakan Demokratik (DAP). DAP pula sudah menandatangani kedudukannya di bawah Pakatan Rakyat. Di dalam politik perjanjian sedemikian biasa diubah bila-bila masa sahaja.

Maka, sekiranya ianya berlaku, Umno akan bergabung bagi memperkuatkan bangsa mereka. Jadi, apa yang akan berlaku kepada Parti Keadilan Rakyat?

Ada yang memberi cadangan agar Parti Keadilan Rakyat (keADILan) bergabung dengan Parti Gerakan Rakyat (Gerakan). Adakah ini formula terbaik politik Malaysia?

Koalisi keADILanGerakan akan membawa lebih memudaratkan, lebih mudarat jika dibandingkan dengan gabungan DAP-MCA-MIC atau pun PASUmno sungguhpun koalisi itu amat nipis untuk menjadi kenyataan.

Atas sifat ideologi di atas kertasnya, Gerakan sebuah parti politik pelbagai kaum yang bersifat liberal. Tapi apa yang nyata, Gerakan ialah sebuah parti politik yang mementingkan kepentingan sendiri dan amat hipokrit dalam pelaksanaannya.

Di dalam konteks liberalisme, sepatutnya Gerakan mendokong prinsip kebebasan dan keadilan. Tetapi ternyata mereka tidak ubah sifatnya seperti Umno, MCA dan MIC iaitu parti politik yang hanya bersifat individualistik serta tidak berprinsip.

Sekiranya benar Gerakan mendokong liberalisme, mengapakah mereka sebahagian daripada penggubal akta-akta draconian selama 50 tahun pemerintahan mereka?

Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Hasutan, Akta Fitnah, Akta Universiti, Akta Percetakan dan banyak lagi akta yang langsung tidak mendokong liberalism dan kebebasan manusiawi.

Kita lihat pula kenyataan Gerakan baru-baru ini apabila keADILan mahu mengadakan pilihan raya kecil di Penanti bagi menggantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)nya yang meletak jawatan.

Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr. Teng Hock Nan sewenang-wenangnya menuduh keADILan mewujudkan gelombang sokongan kepada parti itu.

Tanpa berpegang kepada prinsip demokrasi, Teng juga mendakwa pilihan raya kecil yang akan datang ini dirancang dan dicipta dengan motif tertentu iaitu untuk meraih populariti dan sokongan rakyat.

Lihat satu lagi contoh betapa sikap Gerakan yang langsung tidak mendokong prinsip demokrasi sebenar. Presidennya, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang ditolak oleh pengundi boleh dengan rasa tidak malu dan segan menerima perlantikan Perdana Menteri menjawat jawatan menteri.

Ketua Pemudanya pula Lim Si Ping pula dengan rasa tidak malu menganggap bahawa Presidennya “Super Minister”. Bagaimana seorang pemimpin yang sudah memegang tampuk kuasa sebagai ketua menteri selama 18tahun boleh digelar sebegitu rupa dan kalah dalam pilihan raya.

Kerana tidak berprinsip, Gerakan juga gagal mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai kenyataan Ketua Bahagian Umno Bukit Bendera, Ahmad Ismail mengenai isu kaum cina sebagai pendatang semasa pilihan raya kecil Permatang Pauh Ogos lalu?

Perlantikan jawatan menteri mengikut ‘pintu belakang’ ini secara jelas tidak mengikut amalan demokrasi tulen. Sekiranya Gerakan benar-benar berideologikan liberal, mereka sepatutnya menolak tawaran tersebut, bekerja dengan kuat dalam memperkasakan prinsip hak asasi manusia dan mengakui kelemahan.

Gerakan sepatutnya bekerja dengan hati yang ikhlas dalam membantu membangunkan Pulau Pinang. Dengan kedudukannya sebagai ahli gabungan BN, mereka sepatutnya memberi keyakinan kepada Kerajaan Pusat untuk meneruskan projek yang direncanakan, bukannya membekukan alokasi dana projek pembangunan di Pulau Pinang.

Sekiranya ramai yang menganggap koalisi ahli komponen BN tidak mungkin berlaku kerana dasar perkauman yang diamalkan, maka Gerakan yang hipokrit bakal menjadi duri dalam daging di dalam Pakatan Rakyat nanti. Gerakan tidak akan menyumbang apa-apa kepada pembangunan politik akan mengikut tradisinya, parti itu akan menjadi ‘pak turut’ asalkan dapat menyuap nasi kepada pemimpin-pemimpinnya.

Labels:

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

Get awesome blog templates like this one from BlogSkins.com