Bangkitlah Kaum Buruh & Petani
Menentang Ekstremis & Hipokrits!
~ faisal mustaffa online ~
 
Wednesday, January 26, 2005
Damailah Acheh
Salah satu daripada filem terkenal yang pernah ditayangkan oleh Indonesia, Tjoet Nja' Dhien menceritakan mengenai kisah epik serikandi bangsa, Tjoet Nja' Dhien, yang mengetuai kumpulan gerilla melawan Belanda di pergunungan Acheh di Sumatera pada awal abad ke 20.
Mengikut sejarah Belanda, peperangan di Acheh ialah terlama jika dibandingkan dengan beberapa cubaan untuk menakluki sesebuah jajahan.
Sungguhpun terdapat kumpulan-kumpulan yang telah menjadi tali barut Belanda, sehingga beliau diburu oleh tentera Belanda, namun semangat nasionalisme yang dipunyai oleh Tjoet Nja' Dhien tetap menebal dan menjadi pemangkin kepada rakyat Acheh membela negara mereka.
Tjoet Nja' Dhien arahan Eros Djarot merupakan filem pertama yang dipilih ke Cannes dan juga telah memenangi 9 anugerah di Festival Filem Indonesia 1998. Filem ini diterajui oleh Christine Hakim, yang kini menjadi duta kepada UNICEF. Christine Hakim dilaporkan oleh Metro TV melawat Acheh 28 Disember selepas kejadian tsunami dan menangis kerana mengenang tempat-tempat yang pernah dilawati semasa membuat penggambaran filem ini.
Tjoet Nja Dhien isteri kepada mentor politik dan ketua strategis, Teuku Umar. Selepas kamangkatan suaminya kerana diserang hendap oleh askar Belanda pada Februari 1899, Tjoet Nja' Dhien mengambilalih kepimpinan suaminya.
Perjuangan Tjoet Nja' Dhien lalu diwarisi anaknya lalu menjadi sebuah model perjuangan luhur di dunia.
Perjuangan menentang penjajah tidak sahaja didominasi oleh kaum lelaki bahkan kaum perempuan juga memain peranan utama dalam memerdekakan Acheh ketika itu.
Seorang kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun telah menghampiri Tjoet Nja' Dhien seraya bertanya "Tjoet Nja¹, kapan saya boleh ikut berperang?" tanya si gadis dengan logat Aceh.
"Subhanallah (Maha Suci Allah)," jawab Tjoet Nja¹ Dhien. "Jika kau dewasa kelak, tak akan ada lagi perang di Aceh," sambungnya.
Ketika itu sudah memasuki tahun-tahun pertama kemasukan Belanda ke Acheh. Pada ketika itu Acheh telah diamuk perang dahsyat selama hampir 30 tahun. Perang yang tidak hanya mengharu biru penduduk dan bumi Aceh saja, tetapi juga sangat melelahkan para jenderal Kerajaan Belanda.
Tjoet Nja' Dhien telah berjuang sehingga saat-saat akhirnya; dia buta, lumpuh kerana berada di pedalaman hutan Acheh beberapa tahun.
Perang Aceh yang berlangsung 40 tahun pada penghujung abad ke-19 dan ke-20 telah membunuh lebih daripada 10,000 rakyat pejuang Aceh, 100,000 rakyat kebanyakan, dan 8.000 tentera Kerajaan Belanda, termasuk pasukan elite marsose (marechaussee).
Selain akibat perang, kematian itu juga disebabkan serangan kuman kolera dan malaria. Seabad kemudian, seolah-olah masih tidak cukup penderitaan Acheh, perang terus berkecamuk di Aceh.
Presiden pemerintah ketika itu, Megawati Soekarnoputri dikatakan telah menyulitkan keadaan dengan menghantar pasukan TNI ke Aceh, sehingga dikatakan mencemari mahkamah pengadilan dan kemanusiaan di medan konflik
bersenjata.
Hakim perundangan antarabangsa Indonesia, Hikmahanto Juwono telah mengeluarkan pendapatnya mengenai isu Acheh. Beliau telah mengesyorkan agar aktivis-aktivis kemerdekaan Acheh dibawa kepada pengadilan PBB dan dilabelkan sebagai pengganas antarabangsa.
Katanya, "pemerintah bisa meningkatkan tekanan kepada GAM dan warga Swedia dengan memasukkannya (Hasan Tiro, seorang aktivis kemerdekaan Acheh) ke dalam UN Terrorist List (senarai pengganas PBB). Daftar ini bisa dibuat karena adanya Resolusi PBB Nomor 1373 (2001) yang memberi peluang kepada negara-negara terancam teroris internasional untuk saling bekerja sama menemukan tersangka teroris. Ini daftar yang menurut hukum kebiasaan internasional boleh begitu saja dibuat tanpa harus memerlukan putusan hukum lembaga pengadilan dulu."
Sweden sebuah negara yang sungguh bersimpati dengan isu Acheh yang sering menghulurkan dana bantuan ke negeri itu.
Hikmahanto lalu telah mencadangkan agar Sweden tidak lagi menjadikan negara mereka sebagai tempat perlindungan pejuang-pejuang Acheh .
"Jika tidak, Indonesia memiliki alasan yang cukup untuk memperkarakan Swedia ke Mahkamah Internasional di Den Haag, Belanda," tuturnya.
Presiden Susilo Bambang Yudhoyono pula telah sempat mengkaji kemungkinan untuk mengambil tindakan yang sama sebelum membuat keputusan menghantar tentera ke Acheh. Tetapi, beliau amat berhati-hati kerana mengikut pengalaman pahit berurusan dengan Mahkamah Antarabangsa, tindakan yang salah telah membawa Indonesia kehilangan wilayahnya, Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan, setelah hakim Mahkamah Antarabangsa menyebelahi Malaysia.
Lantas, saya telah menjumpai sepotong sajak dan ingin mengongsikan dengan para pembaca:
Berkatalah Tjoet Nyak Dien
Selma W. Hayati
Berkatalah Tjoet Nyak Dien
Mestilah kita berteriak
Ketika bendera tak lagi berkibar
Layutertunduk, ragu
Bulan sabit enggan muncul
Digantikan kilatan desing peluru
Yang angkuh berbicara, menutup lubang jiwa
Kemana langkah hendak dituju?
Ketika hijau daun, birunya laut
Digantikan merah darah,
Kemana harapan hendak ditanam?
Ketika pekik ayam jago
Digantikan oleh pekik kesakitan
Perempuan malang korban perkosaan
Kabut cerobong asap minyak
Menghitamkan bendera dan bulan sabitku
Dimana tawa riang si buyung,
Dimana gelegar semangat perempuanku,
Dimana anak-anak angkatan mudaku,
Dimana keadilan,
Ketika tebasan senjata membabat habis pasukanku?
Dimana keadilan,
Ketika bom tanpa mata menghujam habis rumah papanku?
Dimana? Ke mana mereka semua?
Kapan kutersenyum,
Mendengarkan obrolan kopi pagi hari,
Wajah-wajah damai Acehku
Lunglai kuberkata:''teruskan langkah, kibarkan bendera sepenuhnya!''
London 120503
 
Thursday, January 13, 2005
Angkatan Muda : Bubarkan GST
Kami dari Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat telah menyatakan sokongannya agar GST (Goods and Services Tax atau Cukai Barangan dan Perkhidmatan) yang dicadangkan pelaksanaannya pada 1 Januari 2007 tidak diimplementasi dan cadangan ini dibubarkan dengan serta-merta.Pada 20 Oktober lalu, sekumpulan 30 buah organisasi badan bukan kerajaan dan parti politik telah hadir di pejabat Kementerian Kewangan di Putrajaya bagi menyatakan hasrat mereka supaya hasrat kerajaan hendak melaksanakan GST itu dibatalkan saja.
Semasa membentangkan Belanjawan tahun 2004 (Budget 2004) pada 10 September lalu, YAB Perdana Menteri, merangkap Menteri kewangan, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengatakan bahwa GST akan diperkenalkan pada 1 Januari 2007. Kadar cukai baru ini masih belum ditentukan dan Kerajaan akan berunding dengan masyarakat awam dan organisasi swasta untuk mendapat pandangan mengenai GST. Malah, sesudah membuat analisis belanjawan tahun 2005 itu tidak lama selepas pembentangannya Barisan Alternatif mahu GST yang akan dilaksanakan itu tidak membebankan rakyat, terutama yang berpendapatan rendah. Dengan cukai baru ini, Kerajaan mengatakan kononnya cukai Koperat dan cukai pendapatan individu akan berkurangan
Kerajaan perlul bertindak secara bertanggungjawab dan dengan serta merta dengan menghentikan sebarang cadangan hendak melaksanakan GST kerana jelas GST itu akan membebankan majoriti rakyat dan hanya akan menguntungkan segelintir kecil korperat dan pemodal besar.
Saya juga kira Kerajaan perlu mengambil langkah-langkah penguatkuasaan untuk memastikan Syarikat dan pemodal besar tidak dikecualikan daripada cukai atau cukai tersebut tidak dipindahkan kepada pihak pengguna. Sekiranya ada penguatkuasaan yang cekap dan berkesan, maka cukai kerajaan akan bertambah dan dengan demikian saya kira tidak perlu menggunakan pintu belakang untuk memperoleh cukai daripada rakyat jelata melalui GST.
Selain itu, yang perlu dilakukan oleh kerajaan ialah bertanggungjawab dalam memastikan harga barang-barang keperluan asas dikawal dan pengguna tidak dibebankan dengan harga petrol dan harga barangan asas yang meningkat naik. Kami berpendapat cara ini lebih ketara apabila hak pekerja dibela daripada segi peningkatan gaji yang tidak dapat dilaksanakan kerana kerajaan tidak menyokong cadangan memperkenalkan akta gaji minimum untuk melindungi tahap gaji pekerja dan, pada masa yang sama, tidak membenarkan Kesatuan Sekerja mewakili kepentingan pekerja dengan cara berkesan.
Ketika membentangkan belanjawan tempoh hari, Menteri Kewangan ada berkata bahwa pandangan rakyat jelata akan diambil kira sebelum GST diimplementasi. Namun, kami cukup risau dan khuatir kerana cukai baru GST itu merupakan suatu lagi impak globalisasi neo-liberal yang berusaha memindahkan tanggungjawab dan kos dari pihak pemodal kepada pengguna dan rakyat biasa.
Melalui pengalaman lalu dalam meningkatkan ekonomi negara, kerajaan telah memperkenalkan konsep penswastaan. Berdasarkan rekod kerajaan yang kini sudah menswastakan banyak kemudahan asas rakyat seperti air, elektrik dan pengangkutan dan belakangan ini pula penswastaan hospital kerajaan secara berperingkat-peringkat, maka kami was-was tentang syor kerajaan bahwa pandangan rakyat akan diambilkira.
Pada hemat saya, GST perlu ditolak atas alasan-alasan tersebut seperti yang terkandung dalam memorandum yang dihantar kepada Menteri Kewangan paa 20 Oktober lalu.
Pertamanya, kami mendapati GST akan melebarkan jurang antara golongan miskin dan kaya. Kedua, kami rasakan kadar inflasi negara akan meningkat dan akhirnya, kami rasakan pengguna akan menanggung beban yang berat dan taraf hidup akan turun.
Meningkatkan jurang antara golongan miskin dan kaya
Rakyat perlu tahu bahwa di bawah GST, golongan berpendapatan rendah yang sebelum ini tidak membayar cukai akan dipaksa membayar cukai manakala golongan kaya kini akan membuat bayaran yang berkurangan. Kajian di Australia mendapati bahwa orang yang berpendapatan RM 60 ribu setahun akan menjimat RM 62 seminggu manakala pekerja yang berpendapatan RM20 ribu setahun hanya akan menjimatkan RM 4. seminggu. Golongan berpendapatan rendah akan membelanjakan sebahagian besar pendapatannya untuk membeli barangan asas dan akan menerima impak daripada cukai GST itu berbanding dengan orang yang berpendapatan tinggi yang kini dapat menjimatkan wang kerana tidak perlu membayar cukai. Keadaan ini melebarkan jurang antara yang kaya dengan yang miskin.
Melalui pelaksanaan GST, syarikat dan golongan korporat didapati akan membayar cukai yang kurang manakala pengguna pula akan dibebankan dengan cukai ini yang sebelum ini mereka tidak membayarnya.
New Zealand, negara yang pada satu masa terkenal sebagai negara yang mengamalkan polisi kebajikan (welfare state) kini telah menjadi negara kedua paling teruk dari aspek kesamarataan di dunia ekoran GST diperkenalkan.
Inflasi akan meningkat
Kita semua perlu faham bahwa harga barangan pengeluaran akan meningkat justeru cukai yang akan diperkenalkan di setiap peringkat pemprosesan barangan dan pengeluar akan meningkatkan harga untuk menanggung peningkatan cukai. Harga yang tinggi akan dikenakan kerana pada setiap peringkat pengeluaran, GST akan dikenakan dan ini semua akan meningkatkan harga akhir barangan yang dijual.
New Zealand telah memperkenalkan GST sebanyak 10 peratus pada tahun 1980 dan meningkat kepada 12.5 peratus pada akhir tahun 1980an. Melalui pelaksanaan GST ini New Zealand mendapati kebanyakan rakyatnya tidak mampu membeli barangan pengguna. Inilah kesan terhadap sebuah negara yang maju. Jadi, cuba bayangkan impak yang akan dihadapi oleh negara seperti Malaysia yang membangun dan kesan itu sudah semestinya akan menjadi lebih teruk.
GST akan menyebabkan harga barangan meningkat dan kenaikan ini amat susah hendak disekat kerana setiap pengeluar barangan akan mencuba memastikan bahwa pengguna akhirnya membayar kos cukai tersebut.
Menurunnya taraf hidup rakyat
Sudah semestinya, melalui dua faktor yang saya utarakan, kesan yang paling merisaukan kami dalam Angkatan Muda ialah menurunnya taraf hidup rakyat yang berpunca daripada harga yang tinggi akibat daripada pengenaan cukai yang secara terus ditanggung oleh pengguna.
Ini akan menyebabkan kuasa beli pengguna jatuh lalu menyebabkan pula taraf hidup pengguna terus jatuh kerana sebahagian besar pendapatannya akan diggunakan untuk membayar cukai GST.
Selain itu, kos hidup rakyat akan bertambah dan ini meninggal impak kepada taraf hidup mereka.