Bangkitlah Kaum Buruh & Petani
Menentang Ekstremis & Hipokrits!
~ faisal mustaffa online ~
 
Thursday, January 22, 2004
Akademi Fantasia
Plagiat! dan Paku Serpih
Oleh: Faisal Mustaffa
Akademi Fantasia, sebuah rancangan yang diroyaltikan dari sebuah rancangan Mexico, bertajuk Laacademia mendapat perhatian banyak pihak dari seluruh negara.
Statistik telah menunjukkan bahawa elemen emosi yang dipaparkan pada setiap berakhirnya konsert mingguan dengan airmata bercucuran (seperti ibu kematian anak) mendapat perhatian umum. Para penonton saya rasa peka bahawa peserta Akademi Fantasia sebenarnya tidak terkeluar kerana mereka telah pun menandatangani kontrak setahun bersama Astro. Walaupun begitu, sifat kesian masih diberikan. Adakah lebih berbaloi sekiranya tangisan disedekahkan kepada para penganggur yang tidak beroleh sebarang pekerjaan selama setengah tahun sungguhpun mempunyai segulung ijazah?
Dari sumber Mingguan Malaysia 17 Ogos, Jumlah SMS yang diterima sepanjang 9 minggu ialah 5 juta. Jumlah SMS pada dua minggu pertama 100,000 manakala SMS minggu ketiga hingga ke lapan meningkat antara 30 hingga 40 peratus.
Saya cuba bayangkan satu SMS yang dihantar berkos purata RM1. Dalam sembilan minggu bukankah hasil kutipannya sebanyak 5 juta?
Pihak pengurusan Astro pula memberitahu saya secara peribadi bahawa targetnya untuk mendapat 1 juta pelanggan telah dicapai dengan terbitnya rancangan Akademi Fantasia. Ini adalah kerana 100 ribu pelanggan baru telah mendaftar pada dua minggu pertama Akademi Fantasia bermula.
Subjek yang berunsurkan airmata memang mendapat tempat dalam budaya Malaysia. Tangisan Mahathir di Perhimpunan Agung Umno mendapat simpati rakyat Malaysia walaupun insan tersebut telah menzalimi orang keduanya sehingga mengaibkan keluarga pihak yang dituduh. Rakyat Malaysia memang kaya dengan sifat belas kasihan mereka. Pelajar-pelajar Akademi telah sekelip mata menjadi bintang. Ketika Astro merayakan Family Fest nya di PWTC tidak berapa lama dahulu, meja Siti Nurhaliza lengang kerana di sudut lain pelajar-pelajar Akademi Fantasia membuat persembahan.
Justeru, pihak media (terutama sekali media cetak) pun berebut-rebnut untuk mendapat bahan cerita rancangan ini agar tulisan mereka laku dan dibeli. Majalah hiburan Media dengan tidak malunya memplagiat sumber tidak rasmi Akademi Fantasia menerusi sultanmuzaffar. Lebih tergugatnya majalah itu ialah apakala penulisnya, Aniff Ghani dengan megahnya mengatakan bahawa tulisan tersebut milik beliau.
Tulisan yang tersiar di dalam weblog tersebut lebih merupakan pandangan peribadi penulis yang menonton siaran langsung Kemuncak Konsert Akademi Fantasia melalui kaca TV, oleh itu adalah amat ajaib sekiranya Aniff dapat memberikan ulasan yang sama sedangkan beliau berada di Dewan Wawasan Cheras pada malam tersebut.
Lebih mengecewakan apabila ada di kalangan mereka yang seakan-akan menghalalkan perbuatan tersebut. Bagaimana boleh dihalalkan tulisan tersebut tanpa apa-apa kredit untuk penulis asalnya. Ia tetap haram.
Rata-rata pembaca weblog tersebut mengutuk kejadian tersebut yang dianggap tidak berperikemanusiaan dan tidak berpelajaran. Wartawan memainkan peranan yang penting untuk mendidik pembaca. Bahan yang disiarkan biarlah dapat memberi manafaat kepada penonton. Wartawan seharusnya berlaku jujur kepada pembacanya.
Tidak terkecuali akhbar Malay Mail menerusi tulisan Zainal Alam yang secara terang-terangnya memplagiat dari sumber sama, tanpa segan silu. Walaupun hanya menterjemah perkataan stars menjadi bintang, ia tetap merupakan perbuatan yang boleh dianggap plagiat.
Dipetik dari weblog sultanmuzaffar, "Di Barat, isu plagiat merupakan satu isu besar yang turut mempertikaikan kredibiliti seorang editor. Howell Raines iaitu Editor New York Times turut diambil tindakan kerana perilaku Jayson Blair wartawan di bawah kelolaan beliau. Seorang Editor seharusnya bertanggungjawab terhadap apa yang disiarkan sebagaimana seorang penulis di weblog bertanggungjawab terhadap tulisannya." Itu di Barat, di Malaysia bagaimana pula ?
Inilah jalan mudah wartawan murahan Malaysia. Gaji diperolehi dari hasil titik peluh orang lain.
Dulang dan Paku Serpih
Selain daripada pujian, Akademi Fantasia tidak lari dari kecaman. Melalui akhbar Harakah 16 Ogos, Akademi Fantasia dikatakan menggalakkan cara hidup lelaki dan perempuan yang bebas berpeluk-peluk antara satu sama lain.
Akhbar Utusan yang terkenal dengan wartawannya yang tidak profesional juga tidak mahu lepas dari isu itu. Huzz, wartawan hiburan Mingguan Malaysia dan juga penulis bagi majalah bukan ilmiah, Mangga telah mengecam Akademi Fantasia tanpa usul periksa.
Melalui penulisannya 17 Oogos lalu, secara terang mendapati bahawa Huzz sebenarnya tidak tahu apa yang ditulisnya. Sumbernya mungkin terhad kepada satu episod rancangan tersebut sahaja dan terus beranggapan bahawa para peserta Akademi Fantasia tinggal di bawah satu bumbung. Huzz menganggapnya sebagai suatu yang sedih apabila acara peluk-memeluk masih terus berlaku lebih-lebih lagi di hadapan keluarga mereka. Lebih mengaibkan adegan percintaan mereka disensasikan untuk tontonan ramai.
Memang benar. Tetapi apabila terus membaca kritikan Huzz (yang tidak jelas jantinanya itu) jelas didapati bahawa dia sebenarnya tidak menonton program berkenaan. Pelajar-pelajar tersebut sememangnya tinggal berasingan dalam dua banglo yang disediakan oleh pihak penaja manakala satu banglo lagi, yang dianggap oleh Huzz sebagai tempat penginapan pelajar-pelajar digunakan sebagai tempat akademi.
Dalam satu-satu penulisan, homework amat penting agar tulisan akan memberi makna
terutama kepada pembaca yang akan menilai sesuatu penulisan itu. Inilah akibatnya apabila seseorang wartawan itu hanya mengambil sikap serkap jarang dalam tugasan mereka. Saya tidak kira gaji Huzz akan dipotong akibat daripada penulisan palsunya. Adakah pisang akan berbuah dua kali? Mungkin kecaman pembaca web akan memberi sedikit kesedaran buat Huzz tetapi adakah wartawan hiburan lain mendapat iktibar?
Mungkin ada benarnya apabila Harakah menyebut bahawa program tersebut agak ‘longgar dan bebas’ sekali gus memberi kebebasan kepada peserta dan akhirnya mempengaruhi penonton sama ada di dalam atau luar studio. Tetapi dengan melihat bahan bacaan Mangga, seakan-akan Dulang dan Paku Serpih.
Apa kurangnya Mangga? Mendedahkan perceraian seseorang, memperagakan tubuh separuh bogel lelaki dan wanita, bergambar berdua-duaan, berpeluk-pelukkan di antara yang bukan muhrim secara terbuka? Apa yang lebih menyedihkan isi kandungan Mangga yang tidak langsung berunsurkan ilmiah atau nasihat. Hanya bahan bacaan murahan yang melemahkan minda dan membazirkan wang si ibubapa yang memberi wang saku kepada anak remaja mereka yang akhirnya membelanjakan wang tersebut dengan membeli majalah Mangga.
Artikel ini telah disiarkan dalam Suara 15 Januari 2004.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home