Klik sini untuk membeli Buku dan VCD Keadilan terbaru !
Faisal Mustaffa's Facebook profile


Bangkitlah Kaum Buruh & Petani
Menentang Ekstremis & Hipokrits!


~ faisal mustaffa online ~


 

Saturday, April 17, 2010

Tangisan Sabah

Baru-baru ini ketika berada di Pulau Pinang dalam rangkakerja biasa, saya menerima satu panggilan dari seorang rakan dari Sabah, Daniel John Jambun.

Daniel berada di dalam kumpulan reformasi di Sabah yang banyak membantu saya ketika berada di Sabah atas urusan bengkel atau apa sahaja program yang melibatkan perkembangan minda.

Beliau bersama teman-temannya; L-R, Dr Nicholas Bawin, P. Waythayamoorty, Virenda Sharma telah bersama-sama dalam sebuah memorandum menulis mengenai rintihan rakyat Sabah dan harapan-harapan mereka di dalam melihat negeri itu makmur – social, politik dan ekonomi.

Pakar-pakar cendikiawan tersebut telah menyatakan kegusaran mereka dengan penindasan yang dialami oleh rakyat Sabah.

Sekiranya kita mengkaji sejarah, pasti Suruhanjaya Cobbold tidak asing lagi buat Sabah.

Sabah, sebagai sebuah Negara bekas jajahan British mendapat hak kemerdekaan mereka pada 31 Ogos 1963 dan kemudiannya, pada 16 September 1963 ia bergabung dengan Malaya, Singapura dan Sarawak bagi menubuhkan Persekutuan Malaysia. Sewaktu pemasyuran kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan Sabah kini bebas dan tidak lagi menjadi sebahagian jajahan British. Rakyat Sabah pada waktu itu bergembira akan perisytiharan Sabah dan sudah tentu kemerdekaan sedemikian menjanjikan rezeki yang melimpah ruah bagi generasi mendatang.


Pendatang Asing


Tetapi bukan senang Sabah hendak dimerdekakan dengan mudah, sebegitu rupa. Mungkin pertalian bersama Kerajaan British sudah pun berakhir. Namun, tanpa disedari penjajahan tertakluk pada anak peribumi sendiri dengan kuasa politik yang diberikan kepada mereka.

Berdasarkan kertas kerja “Human Rights and Citizenship: Its impact on Economics, Social and Cultural Rights,” yang dibentangkan oleh Dr Chong Eng Leong semasa Perbincangan Meja Bular SUHAKAM pada 31 Julai 2006, lebih kurang separuh daripada populasi Sabah berjumlah 3.25 juta terdiri daripada orang asing. Daripada jumlah tersebut, 750,000 merupakan pekerja asing yang tidak mempunyai dokumen ataupun dokumen perjalanan mahupun permit kerja.

Daripada jumlah 750,000 itu, 60,000 daripadanya dikategorikan sebagai pelarian dan kira-kira 153,000 hingga 418,000 sepatutnya diberikan permit kerja. Menurut laporan Chong Eng Leong juga, daripada jumlah 750,000 itu, seramai 600,000 sudah dikeluarkan MyKad di bawah ‘Projek Mahathir’ dan ada juga di antara mereka memperolehi dokumen palsu.

Perkara lain yang lebih serius daripada huraian di atas ialah apabila pendatang-pendatang ini ialah menggunakan mereka ini bagi didaftarkan sebagai pengundi yang sah. Kategori utama dalam jenayah sebegini ialah melalui ‘Projek Mahathir’ yang dinyatakan. Malah, salah seorang saksi di dalam kes yang didengar di mahkamah mengakui memperolehi MyKad dengan mudah. Pengakuan tersebut tidak pernah dicabar mahupun dinafikan oleh mana-mana pihak pun termasuk bekas Perdana Menteri ketika itu.

Kebanyakan mereka ini datang dari Negara jiran, Filipina. Negara itu sehingga kini masih berusaha dan mempertikaikan hak mendapat milik Sabah. Dengan jumlah pendatang-pendatang yang ada di Filipina sahaja, melalui penempatan-penempatan yang mereka bina di merata bandar dan kampung, tidak mustahil bagi Negara itu mencapai hasrat mereka yang dipendam itu. Sabah kini terkenal sebagai negeri tempat berlindung bagi pengganas-pengganas serta pencolek-pencolek tempatan mahupun antarabangsa.

Isu-isu ini memberi kesimpulan kepada persoalan: di manakah keselamatan yang dijanjikan oleh bapa kemerdekaan kita? Rakyat Sabah di peringkat awal dijajah British dan kemudiannya diarah memberi sokongan untuk bergabung dengan Tanah Melayu bagi menyelamatkan dari cekaman Konfrontasi Indonesia dan tuntutan Filipina.

Lihat sahaja prestasi Singapura dan Brunei yang mengambil keputusan untuk keluar dari gabungan Malaysia – betapa maju negara-negara itu sekarang?

Dengan jumlah populasi rakyat asing yang membanjiri populasi rakyat tempatan di sesetengah tepat, tidak mustahil Sabah kini menjadi seolah sebuah negara asing. Bekas Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Prof Hamdan Adnan pernah mengakui hakikat ini dan menyatakan kebimbangan beliau bahawa tidak mustahil bagi Sabah, sekiranya tidak dibendung masalah pendatang asing ini, akan dijajah.

Peningkatan warganegara Sabah dengan mencanak sudah tentu bukannya dari insiden ‘Baby Boom’ selepas kemerdekaan seperti yang berlaku di Amerika Syarikat selepas Perang Dunia. Ianya berlaku akibat daripada ‘Projek Mahathir’ dan menjadi pengundi segera bersama teras janji-janji lain yang dicurahkan apabila mereka juga didaftarkan sebagai pengundi yang sah semasa pilihan raya.


Masalah Sosio-ekonomi

Sebenarnya Sabah sebuah negeri yang kaya dengan sumber asli; petroleum, gas, pembalakan, baja, tanah pertanian dan potensi pelancongan. Dengan populasi sejumlah tiga juta, Sabah sepatutnya menawarkan pelbagai ruang pembangunan dalam sektor –sektor yang dinyatakan. Tetapi, apa yang nyata ialah Sabah hari ini sebuah negeri termiskin (berdasarkan Laporan Rancangan Malaysia).

Kayu-bayu balak ditebang secara rakus tanpa pengurusan pengelestarian yang cekap. Lebih daripada lapan peratus pembangunan tanah pertanian bagi perladangan kelapa sawit dimiliki oleh syarikat dari Semenanjung Malaysia. Sabah merupakan pegeluar sumber ketiga terbanyak di Malaysia, yang mana ia menghasilkan 60% daripada pengeluaran datangnya dari negeri itu iaitu kira-kira 73,000 tong sehari. Persoalannya; mengeapakah Sabah menduduki antara tangga tertinggi dalam kadar kemiskinan rakyatnya. Adakah negeri itu tidak mendapat bahagian mereka daripada kekayaan tersebut atau menjadi mangsa kepada pengurusan yang salah tau kedua-duanya sekali? UNDP (Program Pembangunan Negara Bersatu) meletakkan kadar kemiskinan Sabah pada 24.3% daripada jumlah populasi.

Sabah merupakan defisit bajet tertinggi negara iaitu sebanyak RM252.89 juta (2006). Dengan populasi seramai 3.25 juta, pendapatan per kapita mereka ialah RM9,536 berbanding dengan RM18,040 bagi Malaysia.

Pendapatan petroleum


Petroleum dan gas pada awalnya menjadi milik kerajaan negeri sehingga 1976 bila mana Keajaan Persekutuan mengambilalihnya melalui agensi kerajaan pusat, Petronas. Situasi inilah yang dikatakan di belakang Tragedi “Double Six” (kemalangan yang menimpa beberapa anggota cabinet Sabah termasuk Ketua Menterinya, Tun Fuad Stephens di Sembulan). Fuad dikatakan enggan menandatangani perjanjian hak pertroleum Sabah yang diadakan Labuan. Sebaik sahaja pengebumian Fuad, Harris Salleh telah menandatangani perjanjian yang sama. Dengan termeterainya perjanjian, negeri itu hanya memperolehi 5% daripada pendapatan keseluruhan.

Edisi sunat sila klik di sini.

 

 

Wednesday, April 07, 2010

Terjerat di Malaysia: Siapakah Lanunnya?

Didorong oleh janji pekerjaan di Malaysia, setiap tahun ribuan lelaki dan perempuan merantau ke sini dari Bangladesh, India, Indonesia, Nepal, Vietnam serta negara serantau yang lain. Setibanya di sini, ramai terpaksa membanting tulang sehingga 12 jam atau lebih setiap hari, kerap kali dalam keadaan yang tidak selamat dan kadang-kala terpaksa menerima cacian dan penderaan fizikal dari pihak majikan. Ramai juga tidak menerima gaji yang telah dijanjikan kepada mereka semasa berada di negara asal. Kerajaan Malaysia mempunyai tanggungjawab untuk mencegah penderaan sebegini, yang juga merangkumi eksploitasi, buruh paksa dan perdagangan manusia. Sering kali kerajaan gagal berbuat demikian.Ada di antara pekerja-pekerja yang tiba di Malaysia, mendapati bahawa janji agen pekerjaan semasa berada di negara asal adalah tidak benar - termasuk maklumat tentang jumlah gaji, majikan, jenis pekerjaan yang akan dilakukan. Ada juga agen yang menjanjikan pekerjaan yang sebenarnya tidak wujud.

Ramai di antara mereka langsung tidak menerima sebarang kontrak; ada yang diberi dokumen dalam bahasa Inggeris yang mereka tidak dapat baca atau faham, sejurus sebelum berangkat ke Malaysia.

Oleh itu, kita sepatutnya memikirkan kembali dan mengkaji semula sistem penggunaan perkhidmatan pihak ketiga (outsourcing) bagi pekerja asing, dengan tujuan untuk mereformasikannya. Selain itu, kerajaan juga haruslah menjadikan penyimpanan pasport dan dokumen pengenalan lain sebagai kesalahan dengan hukuman yang setimpal, dan dengan segera meminda polisi dan memorandum persefahaman dengan sewajarnya.

Biasanya, pekerja asing akan membayar sejumlah wang yang besar kepada agensi pekerjaan untuk mendapat pekerjaan di Malaysia. Kebanyakan daripada mereka akan membayar sekurang-kurangnya US$1,000; tetapi pekerja dari Bangladesh akan membayar tiga kali ganda. Untuk mendapatkan wang tersebut, mereka serta keluarga akan menjual tanah ataupun memohon pinjaman, selalunya pada kadar faedah yang terlalu tinggi. Keperluan untuk melangsaikan hutang yang ditanggung untuk datang ke Malaysia telah menghadkan pilihan mereka.

Bagi ramai pekerja, mereka tidak mempunyai pilihan untuk kembali ke negara asal, walaupun mereka sedar bahawa mereka sedang dieksploitasikan. Jumlah hutang yang diambil kerana janji pekerjaan yang baik, adalah terlalu tinggi, dan mereka mendapati keadaan mereka seolah-olah seperti seorang hamba.

Pihak berkuasa mestilah menggunakan kuasa mereka untuk mendakwa agen pekerjaan dan majikan yang menggunakan tipu muslihat semasa mengambil pekerja bagi tujuan eksploitasi, di bawah Akta Anti-Pemerdagangan Orang di Malaysia.

Sesetengah pekerja tidak ada pilihan langsung—mereka dipaksa bekerja bertentangan kemahuan mereka, dikurung di tempat kerja dan diancam dengan keganasan. Dari aspek praktikal, ramai diantara mereka tidak boleh meninggalkan majikan kerana risiko yang besar. Hampir kesemua majikan menyimpan pasport pekerja, iaitu dokumen yang harus dtunjukkan diatas permintaan pihak penguatkuasa dan juga yang diperlukan sekiranya mereka hendak pulang ke negara asal. Amalan-amalan paksaan seperti ini adalah penanda bagi kewujudan buruh paksa..

Dalam beberapa kes, agen telah membawa pekerja di bawah umur 18 tahun dan mendapatkan pasport palsu untuk menyembunyikan kenyataan ini. Pekerja dibawah18 tahun lebih mudah menjadi mangsa penipuan, lebih senang didera dan mudah tercedera semasa bekerja. Dalam kebanyakan kes, mereka juga melakukan kerja yang sepatutnya tidak dilakukan—Malaysia bertanggungjawab dibawah undang-undang antarabangsa untuk melindungi kanak-kanak dibawah umur 18 tahun dari pekerjaan yang merbahaya dan eksploitasi ekonomi.

Apa yang perlu dilakukan ialah untuk kerajaan Meningkatkan pemeriksaan di tempat kerja dan mendakwa majikan yang terlibat dalam buruh paksa atau bentuk eksploitasi yang lain. Fokus utama pemeriksaan tersebut hendaklah terhadap penganiayaan di tempat kerja, dan bukan status imigresen pekerja.

Malaysia mempunyai sekitar 2.2 juta pekerja asing yang sah, hampir 20 peratus dari tenaga kerja Malaysia. Dianggarkan, jumlah yang sama untuk pekerja yang tidak berdaftar.

Ramai pekerja asing di Malaysia adalah mangsa perdagangan manusia—mereka diambil bekerja dengan menggunakan tipu muslihat bagi tujuan eksploitasi. Laporan tentang pemerdagangan yang dikaji oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat pada tahun 2009 ternyata telah memberi status yang paling rendah kepada Malaysia, iaitu Tahap 3, dan menempatkannya diantara negara yang tidak mematuhi piawai minimum untuk membenteras pemerdagangan manusia dan tidak berusaha secara bersungguh-sungguh untuk berbuat demikian.

Perdagangan dilakukan oleh individu agensi pengambilan kerja, tetapi Kerajaan Malaysia telah memudahkan penganiayaan tersebut. Peraturan longer terhadap para agen, undang-undang buruh dan polisi yang boleh menganiaya, dan amalan membenarkan majikan untuk merampas pasport pekerja mempermudahkan pemerdagangan untuk berkembang.

Terdapat pegawai di Jabatan Imigresen Malaysia yang terlibat dalam pemerdagangan manusia dengan cara menghantar tahanan imigresen kepada pedagang haram yang beroperasi di sempadan Negara Thai. Amnesty International telah mengenalpasti lebih sedozen kes berkenaan individu yang telah diperdagangkan secara begini, kadang kala lebih dari sekali, antara 2006 dan awal 2009.

Secara prinsip, kebanyakan pekerja asing adalah dilindungi oleh undang-undang buruh yang berkuatkuasa di Malaysia. Namun, secara praktik, kelemahan dalam penguatkuasaan yang efektif dan pergantungan pekerja asing terhadap majikan dan agensi pekerjaan bererti bahawa para pekerja sering kali tiada atau hanya mempunyai sedikit perlindungan dari penganiayaan.

Pembantu domestik pula mempunyai haluan perundangan yang lebih sedikit apabila hak mereka dicabuli. Pekerjaan domestik secara sistematik berada di luar lingkungan perlindungan kebanyakan undang-undang buruh. Hasilnya, sejenis pekerjaan yang biasanya dilakukan oleh perempuan atau gadis menerima kurang perlindungan berbanding dengan pekerjaan lain. Tidak ada sebarang justifikasi untuk menyisihkan pekerjaan domestik dari undang-undang buruh. Malah, sifat pekerjaan domestik yang terpencil sebenarnya membawa risiko penganiyaan tertentu, dan memerlukan perlindungan yang lebih tinggi dan khusus, bukan sebaliknya. Penyisihan pekerja domestik dari kebanyakan perlindungan undang-undang buruh adalah bertentangan dengan hak untuk bebas dari diskriminasi.

Pekerja asing kerap kali menjadi tumpuan kekejaman dan peras ugut sesetengah anggota polis dan anggota Ikatan Relawan Rakyat (RELA). Dari segi undang-undang, anggota polis dibenarkan memeriksa status imigrasi seseorang; RELA mempunyai kuasa yang sama hingga pertengahan 2009. Kedua-dua pihak polis dan RELA kerap kali menyalahgunakan kuasa itu dengan menganggap penangkapan sebagai kesempatan untuk mengaut keuntungan.

Kerajaan dilihatkan tidak proaktif dalam segera memeriksa semua aduan layanan buruk, peras ugut atau salah laku yang lain oleh pihak polis atau mereka yang bertindak di bawah undang-undang, termasuk agen RELA.

Kebanyakan pendekatan Malaysia terhadap penghijrahan adalah untuk menjenayahkannya, walaupun negara ini tidak mampu berfungsi tanpa buruh pekerja asing. Penahanan besar-besaran di pasar dan jalanan bandar, dan serbuan rambang, tanpa waran di kediaman persendirian di kawasan perumahan yang miskin memberi gambaran bahawa orang asing yang miskin - tanpa mengendahkan status imigrasi mereka – adalah dicurigai dengan automatik. Pendekatan “tangkap dahulu, siasat kemudian” masih wujud dalam penguatkuasaan imigresen. Kerap kali pendekatan yang digunakan kerajaan tertumpu terhadap mangsa penderaan dan bukan pihak yang melakukan penderaan.

Kehilangan status sah adalah mudah – ramai pekerja asing kehilangan status sah apabila majikan tidak memperbaharui permit kerja mereka. Pihak penguatkuasa kerap kali tidak mempedulikan soal keadilan; dan dalam beberapa kes yang telah didokumenkan oleh Amnesty International, pekerja asing yang membuat aduan tentang penderaan telah ditahan kerana melanggar secara teknikal undang-undang imigresen.

Hukuman yang dijatuhkan ke atas pekerja tanpa dokumentasi adalah berat. Pekerja asing yang masuk tanpa mengikut prosedur boleh dikenakan denda, dipenjarakan dan dihantar pulang. Hakim juga boleh dan sering menjatuhkan hukuman sebatan rotan terhadap perkerja asing yang disabitkan dengan kesalahan masuk secara haram: Hampir 35,000 orang pekerja asing telah dirotan diantara tahun 2002 dan 2008.

Mereka yang ditangkap akan dihantar ke pusat tahanan imigresen, yang keadaannya amat jauh dari piawaian minimum antarabangsa. Ketiga-tiga pusat tahanan yang ditinjau oleh Amnesty International di Malaysia mendapati terlalu sesak - malah, beberapa tahanan melaporkan mereka tidak dapat berbaring untuk tidur tanpa menyentuh orang di sisi mereka. Mereka kekurangan peralatan tidur, peluang mendapatkan air bersih, dan ubat bagi merawat yang sakit. Secara keseluruhannya, tahanan mengadu bahawa mereka sering kelaparan dan makanan yang diberikan kadang-kala busuk atau kurang masak. Tahanan duduk di dalam sel sepanjang hari tanpa sebarang kegiatan, kerap kali menghabiskan hari tanpa dibenarkan keluar untuk menghirup udara segar. Tiada peluang untuk senaman, mengerjakan ibadat, ataupun kegiatan lain. Tidak hairan apabila penyakit menyebar dengan cepat dalam keadaan sedemikian, dan pergaduhan antara tahanan adalah sangat lazim. Di samping itu, Amnesty International diberitahu tentang penderaan yang dilakukan oleh pihak pengawal. Selain itu, tahanan di bawah umur 18 tahun ditahan bersama dengan orang dewasa, dan ini bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.

Mereka yang didapati bersalah kerana datang secara haram boleh dirotan sebanyak enam kali. Hukuman merotan adalah sangat memalukan dan menyakitkan. Sebatan rotan meninggalkan bilur-bilur mendalam di atas punggung yang memerlukan masa berhari-hari sebelum ia cukup sembuh dan membolehkan memakai pakaian dan bergerak seperti biasa. Amalan merotan melanggar larangan antarabangsa terhadap penyeksaan dan sebarang bentuk hukuman lain yang kejam, tidak berperikemanusiaan dan merendahkan maruah seseorang.

Adakah kerajaan peka terhadap perkara ini? Adakah kita sentiasa memastikan bahawa pusat tahanan, termasuk depot imigresen, mematuhi piawaian minimum antarabangsa?

Malaysia juga merupakan destinasi bagi pelarian dan pemohon perlindungan. Sekurang-kurangnya seramai 90,000 dan mungkin lebih 170,000 pelarian dan pemohon perlindungan, kebanyakan dari Myanmar dan Filipina, berada di negara ini. Malaysia tidak mengiktiraf Konvensyen Pelarian 1951 dan Protokol 1967, iaitu instrumen antarabangsa utama yang mengurus tadbir perlindungan pelarian, dan undang-undang Malaysia tidak membezakan pelarian dengan pendatang tanpa izin. Akibatnya, pelarian dan pemohon perlindungan boleh diberkas, ditahan, dan didakwa atas kesalahan imigresen, dan mereka boleh dihukum rotan dan kemudian dihantar pulang ke negara asal. Di samping itu, status mereka yang tak tentu membuat mereka sangat mudah mengalami penganiayaan di tempat kerja dan oleh anggota polis dan RELA.

Justeru, kita perlu mengukuhkan perlindungan hak asasi manusia dalam memorandum persefahaman dengan negara-negara sumber, termasuk persetujuan untuk memantau agensi pekerjaan yang beroperasi di negara sumber.

Edisi sunat di sini.

 

 

Get awesome blog templates like this one from BlogSkins.com